loading...

Thursday, March 24, 2011

Motosikal Berisiko Terlibat Kemalangan



WANITA yang menunggang motosikal diingatkan supaya tidak lupa dengan petua bahawa 'anda perlu melihat dan harus dilihat' supaya sentiasa selamat ketika berada di jalan raya.

Presiden Persatuan Institut Memandu Malaysia (PIMA), Mat Aris Bakar berkata, ini penting kerana motosikal antara yang paling banyak terlibat dalam kemalangan di negara ini pada setiap tahun memandangkan ia kecil dan beroda dua.

Katanya, penunggang motosikal berisiko tinggi untuk terlibat dalam kemalangan bukan sahaja kerana boleh terjatuh seorang diri tetapi terjatuh kerana melanggar sesuatu objek atau ketika jatuh boleh pula dilanggar oleh objek lain.

''Nasihat saya, seorang penunggang motosikal perlu tajam penglihatan dan sebaiknya pastikan kenderaan yang ditunggang itu boleh dilihat oleh pemandu kenderaan lain menerusi cermin belakang dan cermin sisi sebelah kiri dan kanan,'' katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Selain itu katanya, kalangan penunggang wanita juga dinasihatkan supaya mematuhi peraturan lalu lintas dan memakai pakaian keselamatan untuk menjamin keselamatan di jalan raya.

''Jangan lupa pakai topi keledar dan mengetatkan tali topi supaya dapat melindungi kepala jika terjatuh dan sebagainya,'' katanya.

Sebaiknya memakai sarung tangan kerana ia akan boleh membantu tangan daripada terluka ketika terjatuh.

Di samping itu katanya, kaum wanita dinasihatkan supaya tidak memakai kasut bertumit tinggi kerana akan mengalami kesukaran jika terpaksa menahan kaki ketika membrek mengejut.

Beliau juga mengingatkan kaum wanita supaya tidak lupa untuk 'berkomunikasi' yang merupakan perkara penting ketika berada di jalan raya.

Katanya, bentuk komunikasi itu termasuk tidak lupa memasang lampu supaya kenderaan lain akan nampak ada motosikal di belakang mereka.

''Juga sebaiknya gunakanlah isyarat tangan kerana kadangkala isyarat lampu dari motosikal mungkin tidak dapat dilihat oleh pemandu kenderaan,'' kata Mat Aris.

Selain itu katanya, jangan lupa menggunakan hon jika ada keperluan kerana ini akan mengingatkan pemandu kenderaan yang mungkin sedang leka memandu.
sumber: utusan.com.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my