KLANG - “Jaga diri dan anak baik-baik, kalau abang tiada nanti pandai-pandailah hidup berdikari,” itulah antara pesanan terakhir arwah Shamshudin kepada isteri keduanya yang dikenali Azila Yusuf, 29, kira-kira sehari sebelum kemalangan maut menimpanya.
“Saya tidak sangka rupa-rupanya ia adalah pesanan terakhir arwah agar saya menjaga tujuh anak termasuk lima anak bersama isteri pertama.
Beliau yang bekerja di kedai perabot. berkata, suami juga tidak sempat untuk menyaksikan perkahwinan anak sulung pada tahun hadapan.
“Bagaimanapun kami sekeluarga reda di atas pemergiannya cuma kematiannya amat mengejutkan kami.
“Walaupun begitu, saya akan membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka sehingga mereka berjaya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Bilik Mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR).
Dalam kejadian semalam, hasrat seorang pekerja kilang plastik untuk ke tempat kerjanya di Shah Alam tidak kesampaian apabila motosikal yang ditunggang seorang diri dilanggar kenderaan lain di kilometer 19, Lebuh raya Kesas.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Shamshudin Ab Rahman, 48, beralamat di Kampung Kedai Buluh, Badang, Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintenden Rosly Abd Rahman berkata, motosikal mangsa dipercayai dirempuh sebuah kenderaan lain ketika mangsa berada di lorong paling kanan menyebabkan mangsa dan motosikalnya terjatuh.
“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa cuba bangun untuk menyelamatkan diri bagaimanapun dalam masa yang sama dia dipercayai dilanggar kenderaan lain.
“Berikutan itu, mangsa yang cedera parah pada anggota badan dan patah tangan kanan meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Bilik Mayat, HTAR untuk bedah siasat,” katanya.
“Setakat ini Polis belum menerima sebarang laporan daripada pemandu kenderaan yang melanggar mangsa.
“Oleh itu, kita minta sesiapa yang menyaksikan kejadian terbabit tampil ke Balai Trafik Klang Selatan atau menghubungi Pegawai penyiasat, Inspektor Khairul Naim Saufy di talian 03-33722222 bagi membantu siasatan,” katanya.
Sumber: sinarharian.com.my
No comments:
Post a Comment