loading...

Monday, March 21, 2011

Elak Lembu, Maut Rempuh Pokok

Berita susulan dari entry 5 Guru Silat Maut Pulang Dari Persembahan


21 Mac 2011, ALOR SETAR: “Saya ternampak seekor ‘lembu besar’ berwarna hitam melintas secara tiba-tiba. Saya cuba mengelak tapi gagal,” kata Rashidi Ahmad, pemandu van yang terbabit dalam kemalangan mengorbankan lima guru silat di Jalan Titi Haji Idris, Pendang dekat sini, awal pagi semalam.
Rashidi, 24, memandu van Ford Econovan membawa lapan penumpang yang dalam perjalanan pulang selepas mengadakan pertunjukan silat di majlis perkahwinan ahli keluarga seorang daripada mangsa di Sungai Buloh, Selangor, kelmarin.

Seorang daripada yang terbunuh dalam kejadian jam 3.30 pagi itu ialah ayah Rashidi, Ahmad Ismail, 60, dari Kampung Alor Rela, Langgar, yang maut di tempat kejadian. Turut maut di tempat kejadian Juhari Darus, 65, dari Kampung Pering, Kodiang dan Jumaat @ Saad Mat Akhir, 65, dari Malau, Jitra.

Sudin Idris, 65, dari Kampung Telaga Mas dan Eshak Awang Kechik, 78, dari Kampung Tualang, Pokok Sena, pula meninggal dunia pada jam 9 dan 11.45 pagi semalam ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini.

Rashidi, Ariffin Mahazon, 56, dan Mohd Idris Mohd Senapi, 20, dirawat sebagai pesakit luar manakala seorang lagi penumpang, Che Ishak Hussin, 54, ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital sama.

Menurut Rashidi, selepas cuba mengelak ‘lembu besar’ hitam itu, van dipandunya terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran sawah.

“Selepas itu, saya tak ingat apa berlaku. Apa yang saya tahu, saya berada di tepi jalan sebelum ternampak ayah masih berada di tempat duduk penumpang hadapan van dan dipercayai sudah meninggal dunia kerana tersepit,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Alor Rela, Langgar, dekat sini, semalam. Rashidi dan semua penumpang van berkenaan adalah guru silat yang juga ahli Persatuan Persilatan dan Pergendangan Negeri Kedah.

Mereka bertolak dari Sungai Buloh dengan diikuti sebuah kenderaan lain berkonvoi untuk pulang ke Kedah, kira-kira jam 6 petang kelmarin dan kejadian berlaku ketika van dipandu Rashidi menghala ke Langgar dari arah Pendang. Rashidi berkata, dia tidak mengantuk ketika memandu kerana sepanjang perjalanan mereka berhenti rehat di lima hentian rehat dan rawat (R&R) Lebuhraya Utara-Selatan sebelum meneruskan perjalanan pulang.

“Ayah tak banyak bercakap cuma ketika berhenti di hentian RnR Bukit Gantang, Perak, dia singgah minum bersama rakan-rakannya manakala saya duduk di meja lain.



“Sejak di Sungai Buloh lagi hati saya tak tenteram kerana berasakan sesuatu yang bakal berlaku, namun saya cuba melupakannya. Akhirnya berlaku kemalangan ngeri ini sehingga menyebabkan kematian ramai termasuk ayah,” katanya.

Rashidi yang juga anak keenam daripada tujuh beradik berkata, sebaik ternampak ‘lembu hitam’ melintas jalan, dia tidak sempat berbuat apa-apa kerana jalan raya di situ gelap dan hanya menyedari kemalangan itu sebaik berada di bahu jalan.

PILU...keluarga Ishak sebak selepas diberitahu mengenai kematian mangsa.


Dia dipercayai tercampak keluar melalui tingkap van akibat rempuhan kuat itu yang menyebabkan dia berada dalam keadaan separuh sedar dan dibawa ke HSB untuk mendapatkan rawatan dengan menaiki ambulans.

“Setahu saya, kawasan itu tidak pernah ada lembu pun dan kalau ada sekali pun hanya waktu siang, tetapi jarang pula ada waktu tengah malam dan awal pagi.

“Saya reda dengan apa yang berlaku kerana kehilangan ayah dalam sekelip mata selain rakannya yang menjadi orang kuat dalam persatuan silat itu,” katanya.

ZIARAH...keluarga dan kenalan menziarahi jenazah Ahmad di Kampung Alor Rela, semalam.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my