loading...

Wednesday, March 23, 2011

Ibu Anak dirempuh Viva



MELAKA - Orang lain yang cuai, orang lain pula yang terpaksa menerima padah.

Kata-kata itu sesuai untuk menggambarkan mengenai nasib yang menimpa dua beranak apabila mereka nyaris lemas selepas dirempuh sebuah kereta jenis Perodua Viva ketika sedang berjalan pulang ke rumah di Semabok di sini semalam.

Kejadian pukul 12.15 tengah hari itu menimpa Nurshamsiah Samawi, 6, dan ibunya, Misliyah Nafhan, 35, apabila mereka tercampak ke dalam longkang sedalam 1.5 meter.

Ekoran itu, Misliyah patah kaki kanan manakala Nurshamsiah pula nyaris lemas sebelum diselamatkan oleh orang ramai yang menghantar mereka ke Hospital Melaka.

Seorang saksi, Sazly Mak Lip, 32, berkata, kejadian berlaku apabila sebuah van yang dipandu laju melanggar belakang Viva sebelum terseret sejauh kira-kira 30 meter ke kiri jalan.

"Pada masa sama, kereta Viva itu telah merempuh dua beranak tersebut mengakibatkan mereka tercampak ke dalam longkang. Kereta Viva dan van itu juga terperosok ke dalam longkang," ceritanya ketika ditemui di sini semalam.

Kosmo
23 Mac 2011

Dua kenderaan rempuh 2 beranak

MELAKA: Berpantang maut sebelum ajal. Itulah yang terjadi ke atas dua beranak apabila mereka tercampak kira-kira empat meter ke dalam longkang sebelum dihimpit dua kenderaan yang terbabit dalam satu kemalangan jalan raya di sini, semalam.

Difahamkan kejadian jam 12.30 tengah hari di Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) berhampiran Kampung Semabok, dekat sini, ketika Misliah Nafahan, 34, bersama anaknya perempuannya, Nursamsiah Samawi, 6, berjalan kaki pulang ke rumah mereka.

Sebelum kejadian, ibu kepada tiga anak mengambil anak bongsunya itu dari Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) dan berjalan kaki di bahu jalan Lebuh AMJ dengan laluan mengikut arus kenderaan.

Tiba-tiba sebuah kereta yang dilanggar van diseret kenderaan itu kira-kira 40 meter lalu merempuh dua beranak itu.

Menurut saksi kejadian, Sazly Mak Lip, 32, ketika kejadian, dia memandu di bahagian kanan jalan dan ketika itu semua kenderaan mula bergerak selepas lampu isyarat di persimpangan Semabok-Duyong bertukar hijau.

Katanya, tiba-tiba dia melihat van meluru laju lalu merempuh Perodua Viva yang berada di lorong sama iaitu bahagian kiri jalan.

“Rempuhan itu menyebabkan Perodua Viva diseret sebelum merempuh dua beranak yang berjalan kaki di kiri bahu jalan.

“Ketika memberhentikan kenderaan bagi melihat kejadian itu, saya mendapati kedua-dua mangsa terjerumus dalam longkang yang dipenuhi sampah-sarap dan keladak berwarna hitam.

“Kedua-dua kenderaan itu terperosok dalam saliran longkang konkrit itu dengan wanita terbabit tersepit di tengah-tengah dua kenderaan itu, manakala anaknya di bahagian belakang van itu,” katanya.

Sazly berkata, orang ramai yang berada di tempat kejadian segera menyelamatkan wanita dan anaknya itu yang ketika itu berada di dalam longkang. Mereka dikejarkan ke Hospital Melaka dengan menaiki kenderaan pengguna jalan raya di situ.

“Mangsa sempat diselamatkan kerana ketika itu laluan berkenaan agak sibuk dan dipenuhi oleh orang ramai,” katanya.

Difahamkan, van berkenaan dikatakan dipandu seorang lelaki, bagaimanapun pemandunya menghilangkan diri selepas kejadian dan hanya meninggalkan kelindannya, manakala Perodua Viva itu dipandu seorang lelaki berusia 40-an.

Sementara itu, suami mangsa, Samawi Masnah, 45, berkata, ketika kejadian, dia masih di tempat kerja sebelum mengambil dua anaknya yang berusia lapan dan sembilan tahun di Sekolah Kebangsaan Semabok sebelum mereka bergegas ke Hospital Melaka (HM).

myMetro

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my