loading...
Tuesday, October 1, 2013
Maut dihempap lori
Inalillahi wainailaihi rojiun
1 Oktober 2013
PASIR PUTEH - Seorang kelindan lori pemungut kelapa maut apabila lori yang dinaiki bersama majikannya dihempap lori sarat muatan batu kasaran dalam kemalangan di Kampung Sungai Kelong di sini, petang kelmarin.
Ismail Awang, 62, mati di tempat kejadian apabila terperangkap selama lebih tiga jam di tempat duduknya selepas lori diseret lori lain ke dalam parit dan menghempapnya.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Mohd Kamal Zainal berkata, Ismail yang tidak mengalami kecederaan serius dipercayai mati akibat lemas selepas paip besar bocor akibat kemalangan tersebut.
“Kejadian itu menyebabkan muatan batu kasaran tertumpah ke parit dan air daripada paip bocor memenuhi parit yang menyebabkan mangsa lemas.
“Kerja menyelamat mangsa dibantu empat jengkaut dan satu kren bagi mengalihkan lori muatan batu yang menghempap lori yang dinaiki mangsa,’ katanya.
Pemandu, Mohd Nazri Abdul Majid, 42, mengalami kecederaan tulang pinggul kiri kini dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kebang Kerian.
Mohd Kamal berkata, kejadian itu berlaku jam 1.30 petang di Kilometer 30 Jalan Kota Bharu-Kuala Terengganu apabila lori mangsa membelok ke kanan sebelum dirempuh lori muatan batu dari arah sama.
“Daripada maklumat yang kita dapat, pemandu mahu menghantar kelindan ke rumahnya kira-kira 150 meter dari tempat kejadian, ketika itu datang lori muatan batu merempuh dan mengheret lori dinaiki mangsa ke dalam parit.
“Pihak polis tidak menafikan lori muatan batu kasaran itu dipandu laju dan nahas di garisan berkembar itu tidak seharusnya berlaku jika semua pihak peka dengan peraturan,” katanya.
Menurutnya, polis masih menyiasat punca sebenar kemalangan tersebut dan sehubungan itu, pemandu lori, Shamsuddin Ali, 58, ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pasir PUteh, Wan Baijuri Wan Hassan berkata, lapan anggotanya bertungkus lumus berusaha mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Katanya, usaha tersebut agak sukar kerana kedua-dua mangsa tersepit dalam lori yang mereka yang dihempap lori muatan batu.
Sementara itu, isteri Ismail, Zainab Manaf, 60, ketika ditemui berkata, Ismail yang bekerja sebagai pemanjat buah kelapa dalam perjalanan pulang ke rumah selepas selesai mengambil upah tidak jauh dari rumahnya.
“Tidak lama selepas dia keluar untuk bekerja, dia balik semula ke rumah untuk menghantar ‘nasi berlauk’ untuk sarapan keluarga.
“Saya tidak menyangka kepulangannya dengan membawa makanan yang jarang dilakukannya itu merupakan kali terakhir saya melihatnya,” katanya yang mempunyai lapan anak hasil perkongsian hidup dengan arwah.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/kelindan-mati-dihempap-lori-1.207201
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment