loading...

Wednesday, October 2, 2013

Pelumba basikal maut dilanggar van



Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Oktober 2013
DUNGUN: Seorang pelumba basikal Terengganu, terbunuh apabila basikal yang ditungganginya terbabit dalam kemalangan di Kilometer 71, Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, dekat Pulau Serai, di sini, hari ini.

Mohammad Asmui Ali, 20, yang berasal dari Kampung Dusun, Kuala Ibai, Kuala Terengganu cedera parah di kepala dan meninggal serta merta di tempat kejadian dalam kemalangan kira-kira jam 11 pagi.
Ketua Polis Daerah Dungun Pemangku Superintendan Ahmad Zailani Yaacub berkata, ketika kejadian mangsa bersama 17 pelumba lain berbasikal dalam perjalanan dari Kuala Terengganu untuk menyertai sebuah kejohanan berbasikal di Sepang Selangor.

Katanya, kejadian itu dipercayai berlaku apabila mangsa yang berada di kelompok depan dipercayai berada berdekatan dengan sebuah van Persatuan Lumba Basikal Terengganu yang mengiringi kumpulan pelumba terbabit.


“Mangsa dipercayai terjatuh sebelum dilanggar van terbabit dan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal serta merta di tempat kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.


Katanya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum dimandi dan dikafankan di hospital terbabit sebelum dituntut keluarga untuk dikebumikan di kampung asalnya.





'Lepas ni mak tak payah basuh baju'

KUALA TERENGGANU – “Lepas ni mak tak payah (perlu) basuh baju ambe (saya) doh,” itu pesanan terakhir atlet lumba basikal Terengganu, Mohamad Asmu'i Ali@Awang, 20, yang maut di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, 11.30 pagi semalam.

Kata-kata itu diluahkan atlet lumba basikal Sukma Terengganu 2014 pada malam sebelum terlibat dalam kemalangan kepada ibunya, Kuntum Jusoh, 62, sebelum masuk ke bilik tidurnya di kediaman keluarga di Kampung Kolam, Kuala Ibai, di sini.

Bapa mangsa yang ditemui, Ali@Awang Sulong, 68, berkata, arwah memang rapat dengan ibunya dan sekiranya dia (mangsa) sibuk, ibulah yang membasuh pakaiannya termasuk mengemas baju yang hendak dibawa ketika mengikuti kejohanan berbasikal.

“Kami tidak menyangka sikapnya yang agak pendiam malam tadi (malam semalam) adalah petanda kami akan kehilangannya. Biasanya dia agak tegas apabila anak saudaranya buat bising, tetapi malam tadi dia diam sahaja.

“Semua ini berlaku dengan cepat, apa boleh buat, pakcik terima walaupun dia meninggal dalam keadaan begini (berbasikal) sebab memang itu yang dia minat dari kecil lagi,” katanya.




Tidak sempat makan lontong

Mohamad Asmu'i sempat bersalaman dengan keluarga jam 8.30 pagi semalam sebelum keluar menyertai latihan berbasikal bersama kumpulannya, sebelum keluarga menerima berita kemalangan itu lebih kurang jam 12 tengah hari.

Kehilangan anak bongsu daripada 10 beradik itu turut dirasai kakaknya, Nor Kamisah, 32, yang bercadang untuk menyediakan makanan kegemaran Allahyarham, iaitu lontong pada Aidil Adha nanti.

“Dia (arwah) suruh saya buat lontong sebab dia memang suka makan yang saya masak, tapi saya janji dengan dia nak buat masa hari raya nanti.

“Bila dah jadi macam ini, saya terkilan sangat sebab tidak sempat memasak makanan kegemarannya,” katanya.

Mohamad Asmu'i yang juga penuntut Universiti Teknologi Mara jurusan Diploma Sains Sukan itu, sempat menghabiskan dua bungkus nasi lemak ketika bersarapan bersama keluarga sebelum keluar pagi semalam.

“Biasanya dia makan sebungkus nasi lemak setiap kali sarapan pagi, tetapi hari ini (semalam) dia habiskan dua bungkus kerana dia kata mahu makan banyak,” jelasnya.

Jenazah Mohamad Asmu'i disembahyangkan di Masjid Kampung Kolam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Kolam, selepas waktu Asar, petang semalam.


Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my/articles/Pelumbabasikalmautdilanggarvan//Article?HarianMetro



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my