loading...
Wednesday, October 2, 2013
2 beradik maut digilis lori
Inalillahi wainailaihi rojiun
2 Oktober 2013
PEKAN – ‘Saya pakai topi (keledar) ni mak, untuk keselamatan’. Itulah gurauan terakhir Muhammad Adhwa Ramli, 17, kepada ibunya sebelum maut bersama adiknya, Muhammad Asyraf, 13, ketika di dalam perjalanan ke sekolah kira-kira jam 7.10 pagi semalam.
Roziah Mad Sidek, 49, tidak menyangka keceriaan mereka bergurau senda pagi semalam merupakan detik terakhir sebelum dimaklumkan mengenai kemalangan yang menimpa anak kedua dan keempatnya itu.
“Saya turut membalas usikan Adhwa dengan menyuruhnya duduk di depan sedikit kerana bimbang adiknya yang juga berbadan besar sepertinya tidak muat untuk menaiki motosikal yang ditunggangnya.
“Malah, saya turut menyikat rambut Adhwa seperti biasa sebelum dia ke sekolah kerana dia selalu menyisir rambut dengan tangan sahaja dan saya selalu komen rambutnya selekeh,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di perkarangan bilik mayat Hospital Pekan.
Menurutnya, Adhwa yang bakal menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada hujung tahun ini tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap malah gemar membuat lawak dan menceriakan suasana seperti biasa.
“Begitu juga dengan Asyraf yang tidak menunjukkan sebarang keganjilan sehingga abang kedua saya yang baru pulang menghantar anaknya ke sekolah menyampaikan berita itu pilu pagi ini (semalam).
“Baru tiga bulan ayah mereka, Ramli Ab. Rahman, 61, meninggal dunia akibat kencing manis, kini mereka pula menyusul takdir ajal yang telah ditetapkan ALLAH SWT,” katanya yang tinggal di Rancangan Kampung Tersusun (RKT) Salong, di sini.
Roziah berkata, walaupun dua daripada lima anak lelakinya telah pergi menghadap Ilahi, namun beliau tabah menghadapi dugaan apatah lagi anak ketiganya yang tinggal di asrama SMK Paloh Hinai kini memerlukan semangat dan sokongan kerana bakal menduduki peperiksaan PMR tidak lama lagi.
“Anak sulung saya berusia 18 tahun kini di dalam perjalanan pulang dari kem PLKN di Mersing, manakala dua lagi anak masih berada di sekolah dan saya tidak pasti mereka sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini oleh pihak sekolah atau belum.
“Saya tahu anak bongsu yang berusia 10 tahun pasti amat terasa dengan kehilangan Asyraf yang digelar ‘Diah’ olehnya kerana mereka terlalu rapat, malah apa sahaja barang yang dibeli pasti turut diberikan kepada abang kesayangannya itu,” katanya.
Baru tiga minggu keluar asrama
Roziah turut memberitahu bahawa anak keduanya, Adhwa keluar dari asrama sejak tiga minggu dan tinggal di rumah ekoran masalah sukar bangun pagi untuk ke sekolah.
“Arwah tinggal di asrama sejak tingkatan satu namun sejak beberapa bulan lalu, warden dan guru mengadu dia sering saja mengantuk pada waktu pembelajaran kerana gemar berbual dengan rakan seasrama sehingga lewat malam menyebabkan dia tidak cukup tidur.
“Saya sendiri menasihatkan dia agar mengisi borang keluar asrama kerana kasihan kepada guru-gurunya dan tidak menyangka, Asyraf juga turut sama mahu mengikut abangnya keluar asrama dan tinggal di rumah,” katanya.
Menurutnya, Adhwa merupakan seorang anak yang ceria dan gemar membuat lawak selain begitu rapat dengan abang serta empat adiknya ekoran jarak umur mereka tidak jauh beza.
“Asyraf pula seorang anak yang rajin dan gemar membantu saya membuat kerja rumah, Dia tidak gemar keluar rumah dan menjadi ‘penjaga’ setia arwah bapanya yang terlantar dan menderita akibat penyakit kencing manisnya.
“Saya tidak menyangka Asyraf juga akan menyusul bapanya, malah kehilangan tiga insan tersayang di dalam waktu singkat benar-benar menguji keimanan dan kesabaran,” katanya yang akan membawa pulang kedua-dua jenazah anaknya untuk dikebumikan di Kampung Mambang petang ini (semalam).
Roziah bagaimanapun dilihat tenang sepanjang proses menuntut mayat di Hospital Pekan dan nyata juga seorang ibu yang begitu tabah dan reda di atas ujian yang diberikan kepadanya.
Lori ‘terlebih’ masuk jalan
Kemalangan yang meragut nyawa dua beradik di Kilometer 51, Jalan Salong-Pekan berhampiran Kampung Sepaku semalam dikatakan berpunca daripada sebuah lori bijih timah kosong (tanpa muatan) yang memasuki lorong bertentangan.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan tersebut berlaku selepas lori yang datang dari arah Pekan ke Salong itu memasuki laluan dua beradik berkenaan ekoran keadaan jalan berselekoh.
Menurutnya, kedua-dua pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Paloh Hinai itu terjatuh selepas motosikal yang dinaiki dilanggar lori berkenaan sebelum mangsa terseret di bawah tayar lori sejauh kira-kira 50 meter.
“Seretan berkenaan menyebabkan kedua-dua beradik itu mengalami kecederaan parah di bahagian kepala (pecah) sehingga menyebabkan kedua-duanya meninggal dunia serta merta di tempat kejadian.
“Pihak polis telah menahan pemandu lori terlibat di lokasi kejadian bagi membantu siasatan dan kes ini akan terus disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/ajal-2-beradik-ketika-ke-sekolah-1.207580
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment