loading...

Sunday, December 2, 2012

Tiga penuntut Universiti Kuala Lumpur maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

2 Disember 2012
 PUTRAJAYA - Tiga penuntut Universiti Kuala Lumpur yang dalam perjalanan ke Port Dickson maut apabila kereta yang dinaiki terbabas lalu bertembung dengan kereta dari arah bertentangan di Jalan Salak-Sepang dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Sepang Supt Imran Abdul Rahman berkata dalam kejadian pada 5 pagi itu, mangsa yang maut ialah penumpang kereta iaitu Ahmad Fikri Mohd Salihudin, 21, dan Muhammad Hilman Syafiq Kamaruzaman, 19, yang masing-masing maut di tempat kejadian.

Katanya, seorang lagi mangsa Muhammad Izuanuddin Mohd Ashari, 21, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Sungai Pelek, Sepang, manakala pemandu kenderaan Mohammad Faizullah Malik, 21, masih dirawat di Hospital Serdang dan dalam keadaan stabil.

Difahamkan kesemua mangsa berkonvoi bersama rakan-rakan lain yang menaiki kereta berasingan untuk bercuti ke Port Dickson.

"Kemalangan itu melibatkan kereta yang kedua-duanya jenis Perodua Kancil, dipercayai berlaku akibat keadaan jalan yang berselekoh serta suasana gelap," katanya ketika dihubungi.

Seorang lagi pemandu kereta yang hanya dikenali sebagai Dhani, 29, yang turut mendapat rawatan di Hospital Serdang sudah dibenarkan keluar dari hospital.

Imran berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kemalangan itu. - Bernama


‘Mama, dada saya sakit...’

SEPANG: “Saya tidak sangka kehilangan tiga rakan karib serentak pada hari ulang tahun kelahiran saya,” kata Mohd Hafis Zahari, 21, rakan kepada tiga mangsa yang maut dan seorang parah dalam kemalangan ngeri di Jalan Salak, Sungai Pelek, di sini, awal pagi semalam.

Menurutnya, sebelum kejadian, dia bersama sepuluh lagi rakan, termasuk keempat-empat mangsa sedang berkonvoi menaiki tiga kenderaan menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan selepas menyambut hari kelahirannya di pusat beli-belah Alamanda, Putrajaya.

Dia berkata, mereka ingin menyambung sambutan hari lahir itu di tepi pantai.
“Kami 11 orang sepakat ke Port Dickson secara konvoi menggunakan tiga kereta untuk makan kek dan mengambil gambar.

 “Mereka berempat naik satu kereta dan berada di depan sekali, jarak kami hanya kira-kira satu kilometer, namun sebaik tiba di tempat kejadian, saya melihat kemalangan berlaku. Sebaik berhenti, amat mengejutkan ia membabitkan kereta kawan sendiri,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Serdang, di sini, semalam.

Menurutnya, ketika itu, dia lihat Ahmad Fikri Mohd Salihudin, 21, dan Muhammad Hilman Syafiq Kamaruzaman, 19, berlumuran darah tidak bernyawa.

Sepupu hairan status pelik di facebook

Beberapa status pelik mengenai kematian dan pengorbanan seorang ibu yang ditulis mangsa kemalangan maut di Sungai Pelek Sepang, semalam, Ahmad Fikri Mohd Salihudin, 21, dalam facebook menyebabkan sepupunya, Mohd Taufiq Mansor, 22, kehairanan.

Mohd Taufiq ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tengah, Jeram Bakri di sini, semalam, berkata Jumaat lalu arwah menulis mengenai kematian dan pengorbanan seorang ibu pada status facebook dan sejak minggu lalu, banyak lagi status pelik ditulisnya.


“Saya pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah menulis status sedemikian.

“Kali terakhir saya menghubungi arwah, petang Jumaat lalu untuk bertanya sama ada dia akan pulang ke kampung di Kampung Tengah, Jeram Bakri, dekat sini, dengan saya, tetapi Ahmad Fikri menyatakan dia ada peperiksaan.


“Saya bekerja di Klang dan biasanya kami pulang bersama ketika cuti semesternya,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
hmetro.com.my
sinarharian.com.my


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my