2 Disember 2012
KEMAMAN - Seorang juruteknik maut setelah kereta Honda City yang dipandunya dirempuh sebuah kereta lain ketika melalui selekoh di Km 123, Jalan Jerangau-Jabor dekat sini semalam.
Rakannya pula patah kedua-dua belah kaki dalam kejadian 6.45 petang itu.
D. Kalaiselvan, 43, yang bekerja di sebuah syarikat pengeluar kereta meninggal selepas beberapa jam menerima rawatan di Hospital Kemaman sementara rakannya Tan Tze Chen, 24, dirujuk ke Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan.
Jurucakap polis berkata kedua-dua mereka yang berasal dari Pulau Pinang sedang dalam perjalanan dari arah Kuala Terengganu menuju Kuantan apabila kereta mereka dirempuh sebuah kereta Toyota Innova.
Akibat rempuhan secara berdepan itu, kedua-dua mangsa tersepit di dalam kereta sebelum dikeluarkan anggota bomba dan penyelamat, katanya.
Manakala pemandu MPV tersebut, Mohamad Abd Ghani, 50, turut patah kaki sementara isterinya, Adoni Daud, 49 cedera parah dan anak perempuan mereka Nurul Nadirah, 14, patah tulang rahang.
Mohamad yang bertugas sebagai Penolong Pengarah Jabatan Pelajaran Kelantan (Bahagian Agama) dalam perjalanan dari Johor untuk balik ke rumah mereka di Bukit Payung, Marang.
Ketua Polis Daerah, Supt Che Suza Che Hitam ketika dihubungi mengesahkan kejadian tersebut dan memberitahu mayat mangsa telah dituntut keluarganya.
"Mohamad dipercayai hilang kawalan ketika melalui selekoh tersebut, namun siastan lanjut masih diteruskan," katanya.- Bernama
Sumber: sinarharian.com.my/semasa/juruteknik-maut-kereta-dirempuh-1.109094
No comments:
Post a Comment