loading...

Wednesday, December 26, 2012

Tak sempat makan nasi goreng

Inalillahi wainailaihi rojiun

27 Disember 2012
KUALA KRAI - Hasrat seorang warga emas untuk menikmati nasi goreng kegemarannya tidak kesampaian, apabila dia maut dalam nahas jalan raya di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Chuchuh Puteri B, dekat sini, kelmarin.

Pada kejadian kira-kira jam 1.15 petang, Isa Awang Mat, 67, dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Zohor, sebelum motosikalnya dirempuh di bahagian kanan oleh sebuah motosikal dinaiki dua lelaki.

Akibat kemalangan itu, Isa cedera parah di kepala dan dikejarkan ke Hospital Kuala Krai (HKK), sebelum disahkan meninggal dunia pada jam 3.15 petang.

Anak sulung mangsa, Kadarisman, 44, berkata, sebelum kejadian, ayahnya memesan nasi goreng di sebuah kedai makan tidak jauh dari masjid, dan berhasrat untuk menikmati makanan itu selepas menunaikan solat Zohor.

“Selepas pesan nasi goreng, ayah saya pergi ke masjid untuk solat Zohor dan ketika membelok untuk masuk ke masjid, motosikalnya dirempuh sebuah motosikal datang dari belakang,” katanya.

Kadarisman berkata, dia tahu mengenai kejadian selepas dimaklumkan jiran lalu bergegas ke tempat kejadian, yang  terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya dan mendapati ayahnya terbaring di tepi jalan.

“Waktu itu, dia sudah tidak sedarkan diri. Saya angkat dia naik kereta untuk dihantar ke hospital sebelum dipindahkan ke atas ambulans di Kampung Peria,” katanya.

Jenazah Allahyarham Isa disembahyangkan selepas solat Isyak, diimami Yang Dipertua Pas Kawasan Kuala Krai, Abdul Latiff Abdul Rahman sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Chuchuh Puteri B.

Hadir sama menziarahi jenazah, Adun Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli.

Allahyarham meninggalkan isteri, Fatimah Awang Teh, 65, dan dua anak termasuk Kadarisman.

Sementara itu, Pegawai Penyiasat Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai, Inspektor Low Johan berkata, kejadian berlaku berhampiran Masjid Chuchuh Puteri B, dekat sini.

Ketika kejadian katanya, mangsa menunggang motosikal Kriss dipercayai dalam perjalanan ke masjid sebelum dirempuh sebuah motosikal Yamaha RXZ dinaiki dua lelaki.

“Seorang penunggang Yamaha RXZ cedera ringan manakala seorang lagi tidak cedera,” katanya memberitahu, siasatan kes masih diteruskan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/tak-sempat-makan-nasi-goreng-1.115776



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my