Inalillahi wainailaihi rojiun
28 Disember 2012
KUANTAN - Seorang murid tahun lima maut akibat dilanggar lori ais ketika melintas di Kilometer 12 Jalan Jerantut-Paya Embun-Jerantut Feri dekat Kampung Lada, di Jerantut, petang semalam.
Dalam kejadian 4 petang itu, mangsa, Mohd Faizol Aidil Arzula, 11, dari Kampung Lada, Jerantut mati di tempat kejadian akibat cedera parah di kepala dan kaki kanan.
Menurut Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang Supt Mohamed Fauzi Abdul Rahim, mangsa dilanggar semasa sedang melintas jalan secara tiba-tiba.
"Dipercayai mangsa secara tiba-tiba melintas dari kiri ke kanan jalan sebelum dilanggar lori muatan ais yang dalam perjalanan dari arah Kuala Lipis menuju ke Jerantut," katanya di sini hari ini.
Katanya, pemandu lori yang berusia 30-an itu dipercayai tidak sempat membrek kenderaannya kerana jarak terlalu hampir.
Sementara itu, dalam kejadian berasingan malam tadi, seorang penunggang motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah bas ekspres yang membawa 40 penumpang di Kilometer 5 Jalan Bentong-Karak dekat Bentong.
Dalam kejadian 11.15 malam itu, Orang Asli terbabit, Karim a/l Sudin, 28, berasal dari kampung Lobak, Bentong maut di tempat kejadian.
"Kejadian berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda hilang kawalan semasa memotong sebuah kenderaan di hadapannya sebelum masuk ke laluan bertentangan.
"Ekoran itu, mangsa telah bertembung dengan bas ekspres terbabit yang dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kota Bharu, Kelantan," katanya.
Bagaimanapun, katanya pemandu bas dan penumpang bas itu tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Kedua-dua kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. - Bernama
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/murid-tahun-lima-maut-dilanggar-lori-ketika-melintas-di-jerantut-1.116159
No comments:
Post a Comment