loading...
Wednesday, December 26, 2012
Anggota polis trafik maut dirempuh van
Inalillahi wainailaihi rojiun
27 Disember 2012
PORT DICKSON – Seorang anggota Polis Trafik di Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Port Dickson maut dalam satu kemalangan di Kilometer 3.5 Jalan Pantai Port Dickson sekitar jam 10.54 malam kelmarin.
Ketua Polis Daerah, Superintendan Abd Wahab Harun berkata, mangsa Koperal Shah Rizal Abu Bakar, 30, yang menunggang motosikal berkuasa tinggi maut di tempat kejadian.
Menurutnya, siasatan awal polis mendapati, mangsa menunggang bersendirian dari arah Port Dickson ke Telok Kemang dirempuh sebuah van dari arah bertentangan yang secara tiba-tiba memasuki lorong kanan jalan.
“Penunggang motosikal tercampak dan jatuh di tengah jalan sebelum dilanggar oleh sebuah lagi kereta dari arah Telok Kemang yang tidak sempat mengelak mengakibatkan mangsa tercampak sejauh kira-kira 20 meter masuk ke dalam kawasan parkir sebuah hotel berhampiran lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di lokasi.
Abd Wahab berkata, mangsa yang mengalami kecederaan parah meninggal dunia di tempat kejadian sebelum di bawa ke Bilik Mayat Hospital Port Dickson (HPD) untuk dibedah siasat.
“Pemandu van seorang lelaki yang tidak cedera dipercayai melarikan diri sementara penumpang van tersepit di tempat duduk penumpang hadapan mengalami kecederaan parah dibawa ke HPD untuk rawatan.
“Polis sudah mengenal pasti identiti pemilik van itu dan operasi memburu pemandu tersebut dilakukan serta-merta. Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan jalan 1987,” katanya lagi.
Abd Wahab berkata, sebelum kejadian Shah Rizal baru sahaja selesai bertugas pada jam 7 malam.
Sementara itu, isteri arwah, Mazlinda Ahmad, 32, ketika ditemui di Bilik Mayat HPD berkata, dia masih terperanjat dengan berita kematian suaminya.
“Arwah baru enam bulan berpindah bertugas di sini (IPD Port Dickson). Kami terpaksa duduk berasingan kerana saya menjaga ibu yang uzur di Bahau sementara dia menyewa di Taman Pantai Mas.
“Memang kami berhasrat untuk tinggal bersama namun, masa belum sesuai. Kali terakhir saya bertemu dengannya adalah dua minggu lalu ketika kenduri di rumah (Bahau). Dua hari lalu kami ada berhubungan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS),” katanya.
Mazlinda yang merupakan seorang suri rumah redha dengan pemergian suaminya.
Hampir 50 pegawai dan anggota trafik menziarahi mangsa di Bilik Mayat HPD.
Jenazah kemudiannya dituntut keluarga sekitar jam 12 tengah hari di Bilik Mayat HPD sebelum dikebumikan di kampung halamannya di Felda Keratong 7 Bandar Muazam Pahang.
Allahyarham meninggalkan dua anak Qurratul Ain Dayana, 5, dan Mohd Shah Mirza,1.
Al-Fatihah
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/anggota-polis-trafik-maut-dirempuh-van-1.115750\
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment