loading...

Tuesday, December 25, 2012

Dua sahabat maut dirempuh lori


Inalillahi wainailaihi rojiun

26 Disember 2012
PEKAN – Dua sahabat maut selepas kereta dinaiki mereka bersama empat lagi rakan dirempuh sebuah lori yang datang dari arah bertentangan di Kilometer 6 Jalan Chini-Kuantan, kelmarin.

Mangsa terbabit ialah pemandu kereta, Mohd Naim Shawaludin Mohd Nazri, 25 dan penumpang di bahagian belakang pemandu, Saidatul Shakinah Abd Razak, 18, di mana kedua-duanya berasal dari Felda Chini 1, di sini.

Ketika kejadian kira-kira jam 11 malam itu, mangsa bersama rakannya dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Felda Chini 1 selepas bersiar-siar mengunjungi karnival di Felda Chini Timur.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu berpunca daripada lori satu tan dipandu lelaki yang membawa isteri dan seorang anak dari arah Kuantan ke Chini.

Menurutnya, lori dipandu lelaki berusia 40-an itu kemudiannya masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan kereta Proton Wira dinaiki enam sahabat terbabit.

“Dalam keadaan hujan dan jalan gelap tanpa lampu jalan, kereta dipandu Mohd Naim Shawaludin tidak sempat mengelak lori yang masuk secara tiba-tiba ke laluannya, sebelum dirempuh pada bahagian kanan sebelah hadapan.

“Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Empat rakan mereka dan pemandu lori sekeluarga kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan berikutan cedera di beberapa bahagian badan,” katanya.

Yahaya berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pekan sebelum dituntut ahli keluarga mereka.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Banyak kemalangan dalam tempoh seminggu ini berlaku disebabkan terbabas. Saya mengingatkan orang ramai supaya mementingkan aspek keselamatan ketika berada di jalan raya.

“Elakkan memandu dalam keadaan mengantuk. Beri tumpuan lebih ketika memandu kerana jalan licin disebabkan hujan berterusan sejak tiga hari lalu,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/pahang/dua-maut-dirempuh-lori-1.115498



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my