loading...
Tuesday, December 25, 2012
Dua Rakan Nyaris Maut
26 Disember 2012
KLANG - Dua rakan bernasib baik apabila terselamat selepas kereta yang dinaiki mereka terbabas lalu terbang ke laluan bertentangan dan melanggar sebuah bas dan sebuah kenderaan lain yang kebetulan melalui Persiaran Tengku Ampuan Rahimah (TAR) bersebelahan Balai Trafik Klang Selatan, semalam.
Dalam kejadian sekitar jam 8 pagi itu, pemandu kesemua kenderaan terselamat walaupun keadaan kereta remuk teruk hingga bomba dipanggil ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap di tempat duduk masing-masing.
Sumber polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila kereta Proton Perdana yang dinaiki seorang lelaki dan wanita itu dari arah Jalan Banting menghala Bulatan Simpang Lima disyaki gagal mengawal kenderaannya ketika melalui satu selekoh agak tajam.
“Kenderaan mangsa gagal dikawal lalu terbang ke laluan bertentangan dan terus merempuh sebuah bas kilang dan sebuah Proton Persona yang dalam perjalanan menghala Jalan Banting.
“Berikutan rempuhan kuat itu, kenderaan dinaiki mangsa remuk teruk menyebabkan kedua-duanya terperangkap di tempat duduk masing-masing.
“Mangsa bagaimanapun berjaya dibawa keluar menerusi bantuan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Andalas yang memotong beberapa bahagian kenderaan itu,” katanya kepada Sinar Harian.
Kesemua mangsa, menurutnya, dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) untuk rawatan lanjut dan mangsa dikatakan dalam keadaan stabil walau masih trauma dengan kejadian yang nyaris meragut nyawa mereka.
Lebih menyedihkan katanya, pemandu kereta Proton Persona datang dari Pulau Pinang dengan hasrat untuk menemui anaknya di asrama sebuah sekolah di sini.
Bagaimanapun katanya, mangsa dan pemandu bas kilang tidak mengalami sebarang kecederaan melainkan masih terkejut dengan kejadian itu selain kenderaan masing-masing turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan.
“Kemalangan hampir sama kerap berlaku di lokasi itu memandangkan selekohnya yang agak tajam dan berbahaya.
“Jadi semua pemandu diingatkan agar berhati-hati ketika memandu termasuk ketika melalui lokasi itu apatah lagi sebelum ini sudah dua nyawa melayang dalam kejadian hampir sama iaitu memasuki laluan bertentangan dan merempuh kenderaan lain,” katanya.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/nyaris-maut-kereta-terbang-1.115502
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment