Inalillahi wainailaihi rojiun
13 Disember 2012
KOTA TINGGI— Seorang lelaki maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh oleh sebuah lori treler dari arah bertentangan di Kilometer 57 Jalan Johor BahAru–Mersing, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supt. Che Mahazan Che Aik berkata, dalam kejadian kira-kira 11.30 malam itu mangsa Mohd. Firdaus Hashim, 29, dari Felda Bukit Aping Timur di sini maut di tempat kejadian akibat cedera parah.
"Sebuah lori treler yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dari arah Johor Baharu menuju ke Mersing dilaporkan hilang kawalan sebelum merempuh motosikal jenis Yamaha RXZ ditunggang mangsa yang keluar dari simpang kiri jalan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Beliau berkata, akibat perlanggaran itu, motosikal yang dinaiki mangsa terperosok di bawah lori berkenaan mengakibatkan mangsa cedera parah.— BERNAMA
Tak Sempat Bertunang.
KOTA TINGGI - Hajat seorang kelindan lori untuk bertunang bulan depan tidak kesampaian apabila maut dilanggar sebuah treler membawa muatan bahan kimia di kilometer 57 jalan Johor Bahru-Mersing semalam.
Ketika kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu mangsa, Mohd Firdaus Hashim, 29, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ibu mangsa, Hazizah Marsan, 53 berkata, sehari sebelum kejadian, mangsa ada menghubunginya memaklumkan niat untuk bertunang pada Januari depan.
Katanya, mangsa juga telah membuat persiapan awal dengan membeli barang hantaran bagi meraikan hari berbahagia itu.
“Saya tinggal di Air Hitam, Batu Pahat manakala arwah tinggal di Felda Bukit Aping Timur di sini bersama neneknya sejak berusia 12 tahun.
"Saya hanya dimaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 12 malam (semalam) sebelum bergegas pulang ke kampung.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum pemergiannya itu,” katanya.
Sementara itu, nenek mangsa, Naimah Saiman, 74 berkata, Mohd Firdaus yang merupakan anak keempat dari lapan beradik itu amat manja dan gemar memeluk serta menciumnya sekembali dari kerja.
Menurut Naimah, Ahad lalu cucunya yang mesra dipanggil Uda itu ada membelikan perhiasan untuk digantung di rumahnya.
“Petang sebelum kejadian itu, Uda sempat beritahu saya, kalau rindukannya lihat perhiasan ini kerana ia akan berbunyi ketika ditiup angin.
“Ketika itu dalam hati saya memberitahu yang arwah sudah buang tabiat.
”Namun saya tak sangka, malam tadi (semalam) dia terlibat dengan kemalangan dan kami telah kehilangannya,” katanya sebak.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik berkata, kemalangan berlaku apabila motosikal ditunggang mangsa yang hendak keluar dari simpang kiri jalan dilanggar sebuah treler.
“Mangsa dari jalan menghala ke Mersing telah dilanggar treler yang dalam perjalanan dari Johor Bahru menghala ke Mersing.
“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan,” katanya.
Jenazah mangsa selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Felda Aping Timur jam 10 pagi semalam.
Al-Fatihah
Sumber:
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_16.htm
sinarharian.com.my/edisi/johor/kelindan-lori-maut-tak-sempat-bertunang-1.112113
No comments:
Post a Comment