loading...
Sunday, October 14, 2012
Maut dalam konvoi
Inalillahi wainailaihi rojiun
14 Oktober 2012
DUNGUN – Hasrat seorang anggota tentera menghabiskan masa cuti hujung minggu bersama rakan setugas berakhir dengan tragedi apabila dia menemui ajal selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya, dekat sini, awal pagi semalam.
Ketika kejadian, mangsa, prebet Abu Zar Jusoh, 22, yang berkonvoi motosikal bersama lima lagi sahabatnya dalam perjalanan dari Bukit Cina Kelantan, ke rumah ibu bapanya di Durian Mas, dekat Al Mukhtafi Billah Shah.
Motosikal dipercayai hilang kawalan
BAGAIMANAPUN, ketika tiba di Kilometer 374.5 Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 Bukit Besi-Ajil, motosikal ditunggang mangsa dari arah Ajil dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar pengadang jalan sebelah kiri.
Rakan arwah yang turut berkonvoi, Mohd Azharudin Abdullah Sani, 22, yang berada kira-kira satu kilometer di belakang mangsa terkejut sebaik sampai di lokasi apabila mendapati motosikal mangsa bergelimpangan atas jalan.
Menurut Mohd Azharuddin, mangsa meninggalkannya agak jauh lebih kurang satu kilometer dan mereka dikatakan terpaksa mengurangkan kelajuan motosikal berikutan kabus tebal di laluan terbabit.
“Jarak penglihatan agak kabur, namun sebaik sampai di situ, saya lihat motosikal dan topi keledar miliknya ada di atas jalan.
“Saya memberhentikan motosikal lalu mencarinya sebelum melihat dua rakan saya sudah tergolek atas jalan,” katanya.
Arwah ajak berkelah selepas selesai jalani operasi
SEORANG lagi rakan mangsa, Samil Jolhata, 22, berkata, seminggu sebelum tragedi, dia bersama arwah menyertai satu operasi dan mereka berhasrat berkelah di air terjun berdekatan rumah mangsa sempena cuti tiga hari selepas menamatkan operasi terbabit.
Samil berkata, arwah kemudian mengajak beberapa rakannya datang ke rumahnya di Dungun kerana mengikut arwah, di Dungun banyak lokasi peranginan yang menarik.
Mereka bertolak dari Bukit Cina Kelantan kira-kira jam 8 malam kelmarin dengan berkonvoi lima motosikal. Turut membonceng motosikal arwah termasuk seorang rakannya, Emirul Izma Abdul Malek. 22.
Motosikal kehabisan minyak petanda tidak baik
SAMIL berkata, sampai di pertengahan jalan, lima motosikal yang mereka tunggang tiba-tiba kehabi-san minyak.
“Kami terpaksa berhenti di tengah jalan kerana motosikal kehabisan minyak sebelum dibantu seorang penduduk.
“Tak sangka itu adalah petanda bahawa akan berlaku perkara tidak baik pada rakan kami,” kata Samil yang berasal dari Sarawak.
Bapa arwah, Jusoh Che Tawang, 58, berkata, kali terakhir dia bertemu anak keempat daripada 11 beradik itu pada Aidilfitri lalu.
“Masa tu dia balik cuti raya, tapi saya tak nampak perubahan dirinya.
“Cuma baru-baru ini arwah ada menghubungi ibunya memaklumkan dia hendak pulang ke Dungun apabila mendapat cuti, tak sangka pula dia mati ketika dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya.
Mayat mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala kemudiannya dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk pemeriksaan lanjut.
Jenazah prebet Abu Zar, anggota tentera yang bertugas di 16 Rejimen Askar Melayu DiRaja Kem Desa Pahlawan Bukit Cina itu kemudian dituntut bapanya untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Binjai, Kemaman.
Ketua Polis Daerah, Superitendan Dahlan Mohd Noor mengesahkan kejadian dan kes masih dalam siasatan polis.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/hasrat-berkelah-berakhir-tragedi-1.94386
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment