loading...
Thursday, October 18, 2012
Nyaris menjadi mangsa kemalangan
19 Oktober 2012
RANTAU PANJANG – Seorang lelaki yang sedang berehat di tepi jalan di Tasek Garu dekat sini, terselamat daripada maut apabila kenderaan terlibat kemalangan hampir melanggarnya, petang kelmarin.
Lelaki enggan dikenali itu berkata, ketika kejadian dia ke sungai tersebut untuk menjala ikan kemudian naik ke tebing seketika untuk berehat sambil merokok di atas motosikal diparkir di tepi jalan.
Katanya, tiba-tiba dia terdengar bunyi kuat sebelum lari menyelamatkan diri ke sungai berdekatan.
Menurutnya, selepas itu dia kembali dan melihat dua kenderaan kemalangan.
“Sebaik dengar bunyi kuat, saya berlari menyelamatkan diri kerana tidak tahu apa yang berlaku tetapi yakin berdepan bahaya jika berada di situ.
“Saya bersyukur sempat selamatkan diri, kalau dilihat kepada kemalangan ini, memang terlalu dekat dengan motosikal saya,” katanya.
Lima terselamat apabila pacuan empat roda dari arah Rantau Panjang ke Pasir Mas sementara Proton Saga dari arah bertentangan terlibat kemalangan.
Pemandu Proton Saga cedera ringan di lengan sementara tiga penumpang mengalami sakit badan dan trauma, termasuk pemandu pacuan empat roda.
Saksi kejadian yang enggan dikenali berkata, ketika kejadian, kenderaan dipandunya berada di belakang pacuan empat roda.
Menurutnya, dia curiga melihat keadaan kenderaan itu dipandu.
“Sesekali saya melihat kenderaan itu berada di tepi jalan, kemudian di tengah.
“Saya yakin pemandunya berada dalam keadaan mabuk melihatkan kepada cara pemanduannya,” katanya.
Kejadian menyebabkan Proton Saga remuk di bahagian kanan sementara pacuan empat roda pecah cermin hadapan serta tercabut tayar hadapan sebelah pemandu.
Mangsa cedera dibawa ke Hospital Pasir Mas dengan bantuan Ambulans Jabatan Pertahanan Awam Rantau Panjang.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/nyaris-dilanggar-ketika-berehat-1.95943
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment