loading...
Sunday, October 14, 2012
Simpanlah buat kenangan
Inalillahi wainailaihi rojiun
14 Oktober 2012
SERI ALAM: “Kalau kau nak barang aku simpanlah buat kenangan.” Itulah kata-kata terakhir Nur Natasya Ashiqin Zulkifli, 20, seorang daripada empat mangsa terbunuh apabila dua motosikal bertembung di Jalan Masai-Kong-Kong berhampiran tanah perkuburan Kristian di sini, kira-kira jam 3 pagi semalam.
Rakannya, Nuraina Syazana Arif, 20, berkata selain kata-kata itu, dia dan rakan lain turut hairan dengan perlakuan Natasya ketika mereka berbual tiga minggu lalu apabila arwah kerap bercerita mengenai kematian.
“Natasya seorang yang periang dan gemar bergurau dengan rakan sekelas. Bagaimanapun, sejak beberapa minggu lalu, dia lebih suka menyendiri.
“Malam sebelum kejadian, Natasya keluar bersama beberapa rakan untuk ke sebuah hotel di Pasir Gudang bagi menghadiri majlis makan malam. Dia dikatakan keluar bersama teman lelakinya selepas majlis itu selesai. Menurut rakan serumah Natasya, dia terserempak dengan kemalangan itu ketika dalam perjalanan pulang ke rumah tetapi tidak menyangka ia membabitkan arwah,” katanya.
Nur Natasya meninggal dunia selepas motosikal dibonceng bersama teman lelakinya, Mohamad Aufa Arshad, 20, bertembung dengan sebuah motosikal lain dari arah bertentangan.
Dua lagi yang maut ialah K Thinakaran, 18, berasal dari Taman Rinting, Masai dan rakannya, S Suthan, 20, dari Pasir Gudang.
Natasya dan Aufa menunggang motosikal jenis Kawasaki 250cc manakala Thinakaran serta Suthan menunggang motosikal jenis Yamaha RXZ.
Menurut Syazana, kawan serumah Natasya hanya tahu tragedi itu selepas dimaklumkan rakan lain yang menerima panggilan daripada polis memaklumkan kemalangan maut itu menggunakan telefon milik mangsa yang ditemui di lokasi kejadian.
Teman serumah Mohamad Aufa, Mohd Rais Sudarno, 20, pula berkata, malam sebelum kejadian, mangsa keluar tanpa memaklumkan tempat ditujunya dengan menunggang motosikal yang dibeli beberapa bulan lalu.
Sebelum itu, Menurut Rais, dia melihat Aufa bergembira ketika menyaksikan perlawanan bola sepak antara Kelantan dan Selangor yang berkesudahan ‘The Red Warriors’ menang dengan jaringan 2-0 sekali gus layak ke perlawanan akhir.
“Saya hairan kerana arwah belum pulang selepas jam 5 pagi dan hanya tahu kemalangan itu selepas dihubungi rakan yang melihat motosikal Aufa tersadai di tepi jalan pada jam 7 pagi.
“Saya hampir terduduk selepas melihat keadaan motosikal Aufa yang rosak teruk,” katanya.
Sementara itu, Thinakaran tidak sempat menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) November ini selepas maut dalam kemalangan itu.
Keempat-empat mangsa dihantar Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) Pandan untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga masing-masing.
Jenazah Natasya dijangka dibawa pulang ke kampungnya di Bagai Serai, Perak, manakala Aufa di Selama. Kedua-dua mangsa adalah rakan baik sejak sekolah.
Natasya adalah pelajar semester lima Diploma Pengurusan Pelancongan Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) manakala Aufa bertugas sebagai jurukimpal di Pasir Gudang.
Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Kerapceritapasalmati/Article/index_html
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment