15 Oktober 2012
BATU PAHAT – “Saya nampak mangsa tercampak setelah motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta, ketika dia mahu menukar laluan menyebabkan dia terseret bersama motosikalnya sejauh beberapa meter.
“Ketika itu, saya berada di dalam kereta berdekatan lokasi kejadian dan terkejut melihat kemalangan itu,” kata saksi kemalangan maut di Kilometer 1, Jalan Parit Jalil yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 33.
Dalam kemalangan yang berlaku, kira-kira jam 11.20 malam kelmarin, mangsa, Tan Yong Ang, 32, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Modenas yang ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan.
Menurutnya, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Tongkang Pechah menghala Parit Sulong melanggar sisi kanan motosikal mangsa yang menukar haluan dari bahu jalan.
“Mangsa tercampak dan maut di lokasi kejadian serta mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/mangsa-tercampak-dan-maut-di-lokasi-kejadian-1.94773
No comments:
Post a Comment