loading...
Sunday, October 14, 2012
Iswara terbalik rempuh lori
14 Oktober 2012
SEREMBAN – Seorang lelaki parah apabila kereta dipandunya terbabas dan merempuh sebuah lori di Kilometer 262.4 Lebuh Raya Utara – Selatan, berhampiran Plaza Tol Seremban, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira 7.45 pagi itu, mangsa berusia lingkungan 30-an itu memandu kereta jenis Proton Iswara Aeroback sendirian merempuh belakang lori yang diletakkan di laluan kecemasan akibat kerosakan enjin.
Kemalangan turut menyebabkan kesesakan lalu lintas sepanjang tiga kilometer dari arah Seremban.
Pegawai Bomba Kanan II dari Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Ungku Abdul Jalil Ismail berkata, sebuah jentera membabitkan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan kira-kira 7.40 pagi.
“Sejurus tiba di tempat kejadian, kita dapati mangsa sudah dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan orang ramai sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans.
“Kita hanya melakukan pemeriksaan bagi memastikan tiada berlaku tumpahan minyak yang boleh menyebabkan kebakaran,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Sementara itu, Pemandu lori terbabit, Mohamad Sahir, 40, berkata, dia dalam perjalanan dari Kuala Selangor ke Kota Tinggi, Johor dengan membawa muatan baja.
“Saya terpaksa memberhentikan lori di lorong kecemasan kira-kira 3 pagi kerana berlaku masalah enjin.
“Sementara menunggu siang, saya tidur dalam lori, tetapi terkejut apabila terdengar bunyi letupan kuat dari arah belakang lori,” katanya.
Menurutnya, dia segera keluar dari lori dan terkejut melihat sebuah kereta Proton Iswara Aeroback terbalik dan remuk di lorong kanan lebuhraya.
“Saya berlari ke arah kereta itu sebelum mendapati pemandu tersepit kerana kereta remuk teruk.
“Saya segera meminta bantuan beberapa pemandu kenderaan lain yang memberhentikan kenderaan bagi mengeluarkan mangsa tersepit,” katanya.
Mohamad Sahir berkata, lelaki berkenaan cedera parah di bahagian kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, di sini untuk rawatan lanjut.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/rempuh-lori-dan-terbalik-1.94393
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment