loading...
Friday, March 9, 2012
Tiga Bersaudara Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
BATU PAHAT – Hujan lebat tidak berhenti di daerah ini pagi semalam mengundang padah kepada tiga bersaudara apabila mereka maut selepas terlibat dalam kemalangan ngeri di Kilometer 110, Koris, Senggarang.
Dalam kemalangan yang berlaku jam 1 pagi itu, Kancil dipandu Saiful Bakhri Abdullah, 30, yang turut dinaiki Ramley Napi, 43 dan Lasnang Paduk, 56, remuk teruk setelah bertembung sebuah Honda Civic.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selain keadaan gelap, difahamkan ketika kejadian keadaan jalan agak licin kerana hujan lebat lalu ia menyukarkan kenderaan menekan brek.
“Kancil tersebut dalam perjalanan dari Batu Pahat setelah salah seorang mangsa, Lasnang selesai melakukan rawatan tradisional di sana. Disebabkan jalan licin, anak saudara Lasnang, Saiful
Bakhri gagal mengawal kenderaan yang mereka naiki sejurus tiba di selekoh Koris, dari arah Johor Bahru menghala ke Melaka lalu bertembung dengan sebuah Honda Civic dipandu seorang wanita berusia 40-an.
“Kesan pertembungan itu, Kancil berkenaan berpusing beberapa kali sebelum menghentam sebatang pokok di bahagian bahu jalan," katanya kepada Sinar Harian.
Din berkata, kesan hentaman itu menyebabkan Kancil berkenaan melekat pada pokok manakala kereta dan pemandu Honda Civic terbabit tercampak kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian.
Menurutnya, ketika pihak polis sampai di lokasi, Saiful Bakhri sudah meninggal dunia berikutan kecederaan parah di beberapa bahagian tubuhnya.
Dua lagi mangsa, Ramley yang merupakan sepupu kepada Saiful Bakhri dan Lasnang turut menghembuskan nafas terakhir di lokasi kejadian.
“Pemandu wanita berkenaan yang juga cedera parah dikejarkan ke Hospital Batu Pahat,” katanya.
Sementara itu, kesemua mangsa tersepit berjaya dikeluarkan pasukan Bomba dan Penyelamat Jalan Mohd Khalid dan Rengit.
Sinar Harian dimaklumkan, pasukan bomba mengambil masa kira-kira setengah jam untuk mengeluarkan mangsa.
Din berkata, berdasarkan siasatan awal, semua mangsa yang maut berasal dari Rengit, Benut dan Senggarang.
Sinar Harian cuba mendapatkan reaksi keluarga mangsa di Kampung Sungai Kluang Laut, Rengit, bagaimanapun mereka enggan ditemubual kerana masih bersedih dengan tragedi itu.
Al-Fatihah...
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/johor/tragedi-jalan-licin-1.30635
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment