loading...

Monday, March 5, 2012

Maut angkara babi hutan



Inalillahi wainailaihi rojiun

BESUT: Seorang wanita maut selepas suaminya terlanggar seekor babi hutan yang melintas sebelum kemudiannya terbabas bertembung sebuah kereta dari arah bertentangan di Kampung Anak Ikan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 7 pagi itu, mangsa, Noor Azira Md Nayan, 24, yang merupakan pembantu program Kewangan Mikro Bandar di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Cawangan Kuala Terengganu, meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian badan.

Bagaimanapun suami mangsa yang membawa kereta jenis Perodua Myvi, Che Mohd Azmil Che Mohd, 24, bersama seorang lagi pemandu terlibat yang membawa kereta Perodua Kelisa, Marzita Mat Yahya, 32, dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Besut, Supt Kamaruddin Mohd Zakaria berkata ketika kejadian pasangan itu dalam perjalanan pulang ke Kuala Terengganu dan ingin menghantar isterinya bekerja.


"Namun semasa perjalanan suami mangsa terkejut apabila seekor babi hutan keluar dari semak di sebelah kiri jalan untuk melintas ke jalan sebelah kanan.


"Pemandu kereta Myvi itu gagal mengelakkan babi itu lalu melanggarnya dan terbabas ke laluan sebelah kanan sebelum sebuah kereta Kelisa yang dipandu dari arah Kuala Terengganu gagal mengelak lalu melanggar kereta berkenaan di bahagian di sebelah penumpang," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Dalam kejadian kemalangan lain petang semalam, Kamaruddin berkata seorang terbunuh dan lima cedera parah selepas dilanggar kereta yang tidak memberhentikan kenderaan di simpang jalan di kilometer 2, Jalan Kampung Raja-Tembila dekat persimpangan Kampung Paya Rawa.

Kejadian pukul 4.15 petang itu menyebabkan pemandu kereta jenis Proton Wira, Mohamad Zain Junus, 50, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera teruk di bahagian kepala dan badan.

Turut cedera parah ialah isteri mangsa, Bidah Junus, 45, dan tiga anaknya, serta pemandu sebuah lagi kereta Mohd Zaitu Mohd Zahid, 45, yang tinggal di Rumah Awam Kos Rendah, Kampung Anak Ikan, Besut.

Katanya mangsa dan keluarga dikatakan baru balik dari menghadiri majlis kenduri kahwin saudaranya di Cheneh, Kemaman.

"Kejadian berlaku apabila Mohd Zaitu yang memandu kereta jenis Proton Wira telah keluar dari persimpangan Jalan Sekolah Menengah Teknik Besut untuk ke kiri menuju Kuala Terengganu tanpa berhenti di simpang berkenaan.

"Namun pada masa yang sama datang kereta yang dipandu Mohamad Zain dari arah Kuala Terengganu menuju ke arah Kampung Raja yang tidak sempat mengelak lalu menyebabkan perlanggaran," katanya.

Kesemua yang cedera dirawat di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk rawatan lanjut. -- BERNAMA

Al-Fatihah...

Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitamautbertembungkeretalainangkarababihutanmelintas/Article/index_html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my