loading...

Wednesday, March 7, 2012

Ibu maut meninggalkan anak 3 tahun



 Inalillahi wainailaihi rojiun

KOTA TINGGI: “Ibu bangunlah, bangun.” Itu rintihan Ahmad Razin Faizal, berusia tiga tahun yang tidak memahami ibunya, Fatimah Othman, 35, sudah meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 28.5, Jalan Kulai-Kota Tinggi, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 2.40 petang itu, tiga daripada lima penumpang sebuah Proton Saga terbunuh selepas merempuh sebuah lori. Selain Fatimah, dua lagi mangsa iaitu ibunya Saemah Mantu, 65, dan Muhammad Hazwan Ahmad, 25, yang dikatakan bakal melangsungkan pertunangan dengan adik Fatimah, Fazlina, 21, pada 24 Mac ini yang terselamat dalam kemalangan itu. Fatimah cedera parah di kepala dan badan manakala Muhammad Hazwan serta Saemah tersepit dalam kereta yang remuk sebelum mayat mereka dikeluarkan anggota Bomba dan Penyelamat dan dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat.


Dalam kejadian itu, Ahmad Razin dan Fazlina yang terselamat hanya cedera ringan.

Sejurus kemalangan, Ahmad Razin dilihat terus memeluk tubuh ibunya yang kaku selepas dikeluarkan orang ramai dan diletakkan di tepi jalan. Tindakan kanak-kanak itu yang terus mengejutkan ibunya menyebabkan suasana pilu dalam kalangan orang ramai yang berada di tempat kejadian.


Sementara itu, Fazlina ketika ditemui berkata, dia amat sedih dan sukar untuk menerima hakikat tiga insan disayanginya iaitu ibu, kakak serta bakal tunangnya kini sudah meninggal dunia akibat kemalangan itu.


“Sebelum kejadian, arwah ibu gembira dan tidak sabar melihat saya bertunang pada 24 Mac ini memandangkan saya anak bongsu daripada enam beradik dan pada masa sama abang akan melangsungkan perkahwinan pada 17 Mac.

“Arwah ibu begitu gembira kerana bakal menyambut menantu baru, tetapi malang tidak sempat meraikannya, malah impian saya sendiri untuk berumah tangga juga tidak kesampaian,” katanya ketika ditemui di HKT.


Fazlina berkata, dia ditemani ibu, kakak serta anak saudaranya itu pergi ke Kuala Lumpur menaiki bas Sabtu lalu bagi membeli barangan untuk majlis pertunangannya.

Menurutnya, ketika kejadian, mereka dalam perjalanan pulang ke Felda Air Tawar 1 menaiki kereta yang dipandu Muhammad Hazwan.


“Saya duduk di hadapan dan sedang tidur sebelum tersedar apabila kereta merempuh lori.


“Saya tidak tahu bagaimana kemalangan itu berlaku. Orang ramai datang bantu mengeluarkan kami,” katanya.


Abang Fazlina, Mohd Fadzil, 42, berkata, adiknya bertugas sebagai pembantu tadbir di Mahkamah Sesyen Kota Tinggi menjalani kursus sehari di Mahkamah Sesyen Johor Bahru sebelum bertolak ke Kuala Lumpur. “Seorang lagi adik lelaki saya, Azhari, 31, akan melangsungkan perkahwinan di Gelang Patah pada 17 Mac ini dan berikutan itu, kami sekeluarga bercadang mengadakan majlis doa selamat pada hari pertunangan Fazlina nanti,” katanya.

Al-Fatihah...



Sumber:
hmetro.com.my/myMetro/articles/2012030702514020120307025140/Article/index_html
kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0307&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_07.htm
sinarharian.com.my/edisi/johor/hajat-tidak-kesampaian-1.30135

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my