loading...
Sunday, March 4, 2012
Berkecai Kemalangan 2 Lori 1 Kereta
KEMAMAN – Empat lelaki nyaris maut dalam kemalangan membabitkan dua buah lori dan sebuah kereta di Kilometer 5, Jalan Chukai – Air Putih dekat simpang tiga ke Taman Seroja, Binjai, di sini, kira-kira jam 1.30 tengah hari semalam.
Dalam kejadian berkenaan, pemandu lori satu tan, Wong Twee Kuang, 52, bernasib baik kerana terselamat biarpun badan lori yang dipandunya hancur berkecai mengakibatkan kepala lorinya menghentam dan menindih sebuah kereta di hadapannya sejurus lori yang dipandunya dirempuh dari belakang oleh sebuah lori tiga tan.
Berikutan itu, pemandu lori tiga tan yang membawa muatan perabot, Mohd Khairul Affendi Mohd Norawie, 26, mengalami kecederaan ringan di tangan dan kaki akibat terkena serpihan kaca sementara kelindannya berserta pemandu kereta jenis Kia Rio berusia 54 tahun tidak mengalami apa-apa kecederaan.
Twee Wong yang berasal dari Air Jernih berkata, ketika kejadian dia memberhentikan keretanya untuk masuk ke simpang kanan kerana mahu ke bengkel kereta sebelum secara tiba-tiba dirempuh kuat dari belakang oleh lori tiga tan terbabit.
“Terperanjat saya apabila secara tiba-tiba terdengar rempuhan kuat dan sejurus itu lori saya terdorong ke depan dan melanggar pula sebuah kereta di hadapan yang berada di laluan bertentangan.
“Saya keluar ikut pintu di sebelah tempat duduk penumpang, bila keluar saya lihat badan lori hancur bertaburan di atas jalan,” katanya yang bekerja sebagai kontraktor ketika ditemui di lokasi kejadian.
Lori kepunyaan Twee Kuang itu bagaimanapun tidak membawa sebarang muatan dan terdapat satu tin cat di belakang menyebabkan cat memercik ke seluruh sisa serpihan badan lori sebaik kemalangan berlaku.
Menurut bapa kepada tiga anak ini, dia dalam perjalanan dari Chukai ke Binjai untuk berbincang dengan pemilik sebuah bengkel bagi menghantar sebuah lorinya yang lain ke situ untuk dibaiki.
“Ketika kejadian terdapat sebuah kereta yang mahu keluar dari simpang, jadi saya memberhentikan dahulu kereta dan memberi lampu isyarat untuk masuk ke simpang kanan, tetapi malang tidak berbau kerana belum sempat masuk simpang lori saya dirempuh pula,” katanya.
Twee Kuang yang kelihatan masih trauma dengan tragedi malang itu mengakui nahas itu adalah kemalangan pertama yang dialaminya sejak membawa lori puluhan tahun.
Akibat nahas itu, lori tiga tan pula remuk teruk di bahagian pemandu selain cermin pecah sementara kereta turut remuk di bahagian hadapan kerana ditindih kepala lori.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Abdullah Sani Salat ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.
Lori perabot berpusing
Sementara itu, Mohd Khairul Affendi berkata, dia keliru dengan lori di hadapannya dan tidak menyedari sama ada lori di hadapannya memberikan lampu isyarat mengakibatkan dia gagal mengelak sepenuhnya sebelum melanggar belakang lori terbabit.
“Sejurus perlanggaran itu cermin lori pecah lalu lori yang saya pandu berpusing sekali dan terbabas beberapa meter ke hadapan di bahu kiri jalan,” katanya.
Mohd Khairul Affendi yang berasal dari Kuantan, Pahang bersama kelindannya sewaktu kejadian itu datang dari arah Kampung Tempurung menghala ke Binjai untuk pulang ke Kuantan.
Kutip sisa kayu badan lori
Dalam pada itu, nahas berkenaan menyebabkan jalan sesak sebelum beberapa orang orang awam yang prihatin bertindak mengalihkan sisa kemalangan ke tepi bagi melancarkan kembali lalulintas.
Abdul Jabbar Wahab, 41, yang kebetulan melalui tempat kejadian sejurus kejadian baru berlaku berkata, dia terkejut apabila melihat serpihan kayu badan lori bertaburan di atas jalan membuatkan jalan sesak.
“Saya kutip sisa kayu dan alihkannya ke tepi kerana kereta tidak dapat melalui tempat kejadian. Ketika itu jalan sudah mulai sesak.
“Alhamdulillah walau melihat keadaan lori dan kereta teruk namun kesemua empat mangsa yang terlibat terselamat,” katanya yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Pengkalan Binjai.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/terengganu/empat-nyaris-maut-badan-lori-hancur-1.29245
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment