loading...
Friday, March 9, 2012
Terkeluar Tulang Buku Lali
SENALING – Tindakan seorang penunggang motosikal yang keluar secara melulu di kawasan simpang mengundang padah apabila bertembung dengan sebuah kereta Proton Saga BLM di Jalan Senaling-Tampin, semalam.
Kejadian berlaku jam 9 pagi itu menyebabkan lelaki berusia 40-an tercampak ke bahu jalan sehingga menyebabkan kaki kirinya patah dan tulang buku lali tersembul keluar manakala pemandu kereta berkenaan yang juga seorang wanita tidak cedera.
Petugas Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), Majeran Lon berkata, pihak JPAM menerima panggilan kira-kira 9.03 minit dan bergegas ke tempat kejadian.
“Ketika tiba di tempat kejadian, kami melihat seorang lelaki sedang mengerang kesakitan berikutan kakinya patah hingga menyebabkan tulang buku lali terkeluar. Dia masih dalam keadaan sedar dan berada di tepi jalan,” katanya.
Majeran berkata, kejadian itu berlaku apabila lelaki tersebut keluar dari simpang Bemban arah ke Senaling secara melulu.
“Dipercayai kereta tersebut dari arah Melaka menuju ke Kuala Pilah. Namun apabila tiba di simpang Bemban–Senaling, sebuah motosikal keluar secara mengejut menyebabkan pemandunya tidak dapat mengelak lalu merempuh lelaki berkenaan. Akibat rempuhan itu, lelaki berkenaan tercampak dan kepala terhantuk di atas jalan. Dia cedera di kepala, dahi dan kaki,” katanya.
Katanya, pihaknya yang tiba awal di tempat kejadian menghulurkan bantuan kecemasan sebelum menunggu ketibaan ambulans dari Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN).
“Saya bersama kakitangan hospital memberi rawatan awal sebelum mangsa dibawa untuk rawatan susulan. Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu turut memberikan bantuan dengan mengangkat mangsa ke tempat selamat,” katanya.
Sementara itu, difahamkan, bahagian sisi motosikal mangsa remuk dan lampu depan pecah manakala kereta berkenaan rosak sedikit di bahagian depan.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/padah-keluar-secara-melulu-1.30731
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment