loading...

Friday, March 9, 2012

Suami Isteri Warga Emas Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

KUALA KRAI - Sepasang suami isteri maut dalam satu kemalangan jalan raya membabitkan empat kenderaan di Kilometer 98, Jalan Kota Bharu-Gua Musang, dekat Laloh, di sini, kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari di simpang empat Laloh itu melibatkan kenderaan pacuan empat roda dinaiki pasangan terbabit, lori, treler dan kereta sedang diparkir di tepi jalan.

Mangsa, Che Daud Hassan, 61, meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital manakala isterinya, Saudah Muhammad, 51, menghembus nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Krai (HKK), kira-kira jam 7 malam.

Ketika kejadian, kedua mangsa beralamat di Kampung Slow Machang, dekat Sungai Sok, Manek Urai dalam perjalanan pulang dari kebun getah mereka di Pasir Linggi, Gua Musang ke rumah seorang menantu di Kampung Lata Rek.

Kemalangan terjadi apabila belakang Toyota Hilux dinaiki mangsa dirempuh sebuah lori ketika sedang berhenti di simpang empat itu lalu terbabas ke laluan bersebelahan dan dirempuh sebuah treler dari arah bertentangan.

Pelanggaran menyebabkan treler dari arah Kuala Krai itu pula terbabas dan merempuh sebuah kereta tanpa penumpang yang diparkir di tepi jalan berhampiran tempat kejadian.

Susulan kejadian, polis menahan pemandu lori yang merempuh belakang kenderaan mangsa bagi membantu siasatan selepas ujian air kencing mendapati lelaki berusia 30 tahun itu positif dadah.

Sementara itu, suasana sedih menyelubungi Bilik Mayat HKK apabila ahli keluarga serta kenalan masih terkejut dan bersedih dengan nahas menimpa Che Daud dan Saudah.

Seorang anak mangsa, Ahmad Rozi, 31, berkata, kejadian itu amat mengejutkan dia serta enam adik beradiknya yang lain kerana tidak ada sebarang perubahan ditunjukkan ibu bapa mereka.

“Tidak nampak apa-apa perubahan malah keduanya kelihatan biasa sahaja,” katanya yang mengetahui mengenai kejadian itu ketika berada di sebuah lagi kebun getah milik keluarganya, juga di Pasir Linggi.

Menurutnya, kali terakhir dia bertemu ibu bapanya adalah kira-kira jam 8 pagi hari kejadian ketika mereka keluar dari rumah untuk ke kebun getah yang baru ditanam di kawasan sama.

“Sudah tiga hari ayah dan mak tak keluar menoreh kerana hujan, jadi mereka berdua pergi ke kebun getah yang baru ditanam untuk kerja meracun,” katanya yang merupakan anak ketiga.

Che Daud dan Saudah meninggalkan empat anak lelaki serta tiga perempuan berusia antara 19 dan 36 tahun termasuk tiga orang yang tinggal bersama di Kampung Slow Machang, dekat sini.

Dalam pada itu, jenazah Saudah dibawa keluar dari wad HKK dan dihantar ke bilik mayat jam 8.50 malam untuk dimandikan serta dikapankan bersama jenazah suaminya yang sudah berada di bilik itu sejak tengah hari.

Kedua-dua jenazah kemudian disembahyangkan di bilik mayat dengan diimamkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manek Urai, Mohd Fauzi Abdullah dan turut disertai Ketua Pemuda Umno bahagian ini, Tuan Aziz Tuan Mat.

Tanpa mengira perbezaan fahaman politik, kedua pemimpin terbabit kemudian turut bersama ahli keluarga mengangkat jenazah ke atas van untuk dibawa pulang sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Sok, dekat sini.

Turut kelihatan menziarahi sebelum jenazah dibawa keluar dari hospital jam 11 malam, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan, Jamaluddin Yasat dan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah, juga sepupu Saudah, Mohamad Jusoh.

Setiausaha Majlis Tindakan Dun Manek Urai, Mohd Sapardi Yusoff dan Penghulu Mukim Batu Lada, Abd Razak Taib juga kelihatan hadir menziarahi dan menyertai solat jenazah.

Al-Fatihah...

Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/kelantan/suami-isteri-maut-nahas-1.31068

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my