loading...
Friday, March 9, 2012
Mana abah dan mami
Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN: “Mana abah dan mami, nak abah dengan mami”. Itulah perkataan bermain di bibir Nurhudiyana Norazman, 12, mangsa tunggal yang terselamat dalam kemalangan mengorbankan bapanya, Norazman Ibrahim, 42; ibunya, Norhayati Ibrahim, 42, dan abangnya, Akif Iskandar, 17, di Kilometer 210.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) berhampiran Gambang, di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, keluarga malang berkenaan dipercayai dalam perjalanan ke Terengganu menghadiri majlis kenduri kahwin anak kepada sepupu Norazman.
Norazman yang memandu kereta Proton Waja miliknya, dipercayai terbabas sebelum melanggar belakang lori membawa muatan bijih besi dan akibat rempuhan itu, dia meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya cedera di dada menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.
Anak sulung pasangan itu, Akif pula meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) jam 4.18 petang semalam akibat parah di kepala. Nurhudiyana pula cedera ringan dan masih dirawat di HTAA.
Norazman seorang eksekutif kualiti di Kilang Proton, Shah Alam, Selangor manakala Norhayati berasal dari Kemaman, Terengganu dan mereka tinggal di Taman Puchong Perdana, Selangor.
Nurhudiyana yang masih belum tahu ibu, bapa serta abangnya itu sudah meninggal, terpaksa ditenangkan doktor yang merawatnya dan selain ahli keluarga, tidak sesiapa dibenarkan menemuinya bagi mengelak emosinya terganggu.
Kakak Norazman, Noor Dinal Ibrahim, 49, berkata arwah bersama keluarganya pulang ke Kuala Terengganu kerana mahu menghadiri majlis perkahwinan anak sepupunya hari ini dan keluarga terbabit sepatutnya bertolak selepas jam 9 pagi ini namun tidak menyangka mereka mengambil keputusan bertolak lebih awal.
Menurutnya, sehingga kini, dia bersama suami, Radzi Abd Aziz, 51, terpaksa merahsiakan kematian keluarga Nurhudiyana kerana bimbang emosi anak saudaranya itu terganggu.
Katanya, dia mendapat tahu mengenai kejadian terbabit melalui rakan mangsa yang kebetulan terlihat kereta mangsa terbabit kemalangan dan menghubunginya pada jam 2.30 pagi.
“Selepas mengesahkan nombor pendaftaran kereta adik, saya bersama suami seperti tidak percaya selain tertanya-tanya mengapa mereka bertolak balik terlalu awal kerana dia memberitahu akan bertolak ke Kuala Terengganu selepas jam 9 pagi. Bagaimanapun, saya reda dengan pemergiannya dan kami sedang menumpukan perhatian kepada anak bongsu mangsa,” katanya.
Noor Dinal berkata, anak saudaranya itu hanya mahu bertemu bapa dan ibunya dan perkataan itulah yang kerap disuarakan sekali gus membuatkan semua ahli keluarga sedih tetapi mereka tidak boleh menceritakan kejadian sebenar.
“Saya terkilan dan sedih kerana arwah yang turut menyatakan hasratnya untuk bermain golf di Terengganu selepas mendapat tiket cabutan bertuah disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika menghadiri majlis di Proton, bulan lalu, tidak kesampaian,” katanya.
Mengenai masa depan Nurhudiyana, Noor Dinal yang juga pengusaha Taska di Seksyen 27, Shah Alam, Selangor berkata, kemungkinan dia bersama suami akan menjaga dan menganggap kanak-kanak itu seperti anak sendiri.
Menurutnya, semua jenazah mangsa dijangka akan dikebumikan dalam satu liang di Kuala Berang, Terengganu pagi ini selepas disembahyangkan di Masjid Indera Mahkota, di sini, petang semalam.
Sementara itu, Pegawai Penguat kuasa Trafik negeri, Asisten Superintendan Zainalabidin Othman berkata, Norazman meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala dan tubuh manakala isterinya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Gambang.
“Anak sulung mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di HTAA akibat kecederaan di kepala, pada jam 4.18 petang, semalam. Pemandu lori yang terbabit dalam kemalangan itu berasal dari Mentakab dan dia tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Siasatan awal mendapati, kejadian terbabit berlaku di laluan selekoh dan berbukit manakala keadaan sekeliling gelap kerana tiada lampu,” katanya.
Menurutnya, polis masih meneruskan siasatan berhubung kejadian terbabit mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987
Al-Fatihah...
Sumber:
hmetro.com.my/articles/2012031003570220120310035702/Article
http://kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2012&dt=0310&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_02.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment