loading...

Wednesday, January 11, 2012

Pengawal Keselamatan Perhilitan Maut



Inalillahi wainailaihi rojiun

GUA MUSANG - Seorang pengawal keselamatan maut manakala tiga anaknya parah dan dua lagi cedera ringan apabila sebuah kereta yang dinaiki mereka terbabit dalam kejadian kemalangan jalan raya di Kilometer 20 Jalan Gua Musang - Kuala Lipis, dekat sini, awal pagi semalam.

Mangsa yang maut itu dikenali sebagai Mohd Ariffin Awang, 55, seorang pengawal keselamatan di Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sungai Relau, Merapoh, Pahang.

Anak mangsa yang cedera parah menerima rawatan di Hospital Gua Musang (HGM), Mohd Afandi Mohd Ariffin,16, Mohd Shahrui, 12 dan Mohd Shahmin, 10 manakala dua yang cedera ringan, isteri mangsa, Paridah Abd Rahman, 49 dan seorang lagi anak mereka, Mohd Shafrin, 23.

Kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.15 pagi ketika sekeluarga terbabit dalam perjalanan dari bandar ini untuk pulang ke rumahnya di Kampung Merapoh, Pahang selepas menghantar seorang anak mereka, Mohd Hafis, 23, menaiki bas untuk ke Kuala Lumpur.

Dalam perjalanan itu, kereta Proton Waja yang dipandu mangsa dikatakan gagal mengawal sebaik tiba di kawasan selekoh sebelum merempuh tayar belakang sebuah treler panjang yang dalam perjalanan dari Kuala Lipis menghala ke Gua Musang.

Kereta terbabit yang berpusing sebelum terbabas ke tepi jalan menghala ke Gua Musang menyebabkan mangsa yang cedera parah dan tersepit di tempat duduk pemandu meninggal dunia di tempat kejadian.

Paridah berkata, sebelum kejadian arwah membawa dia bersama anak-anak mengelilingi bandar Gua Musang sebelum berehat di Taman Tasik.

Beliau berkata, kesempatan itu diambil sambil menunggu masa untuk menghantar seorang anaknya, Mohd Hafis menaiki bas ekspres jam 12 malam untuk ke Kuala Lumpur.

”Saya juga ketika turun dari rumah jam 8 malam tertanya-tanya kenapa lebih awal untuk ke bandar ini sedangkan masa untuk anaknya menaiki bas ekspres masih lama lagi.

”Sebaik tiba di bandar ini, dia (arwah) membawa saya bersama anak-anak mengelilingi bandar bandar secara berulang kali hingga saya terasa lain macam perangai suami,” katanya.

Namun, Paridah berkata, dia tidak berani menegur suaminya yang kelihatan garang dan masih kemaruk memandu kereta yang baru dibelinya sejak empat bulan lalu.

Beliau berkata, selepas membeli kereta itu juga, arwah kerap membawa dia bersama anak-anak pergi ke merata tempat termasuk di bandar lain di Kelantan kerana inginkan kecekapan memandu.

”Tak sangka perangai pelik suami sejak akhir-akhirnya akan meninggalkan kami semua untuk selama-lamanya selepas maut dalam kemalangan ngeri itu,” katanya.


Al-Fatihah

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/kelantan/pengawal-keselamatan-maut-1.17564

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my