Inalillahi wainailaihi rojiun
DUNGUN 12 Jan. - Seorang pemuda yang dalam perjalanan untuk menghadiri mesyuarat di bandar ini terbunuh apabila kereta dipandunya terbabas di Kilometer 93.8 Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, hari ini.
Mohd Yasir Alias, 27, yang bekerja sebagai juruukur bahan di sebuah syarikat pembinaan meninggal dunia di tempat kejadian dalam kemalangan yang berlaku di Kampung Nyior Paka.
Ketika kejadian pukul 8.30 pagi, mangsa berasal dari Kampung Paloh, Kuala Terengganu dalam perjalanan menghadiri satu mesyuarat syarikatnya di Hotel Universiti Teknologi Mara.
Kereta yang dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan selepas melalui satu selekoh di situ sebelum merempuh sebatang pokok lalu terbalik.
Mangsa yang masih bujang disahkan meninggal akibat tersepit di tempat duduk dan polis terpaksa meminta bantuan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Paka untuk mengeluarkannya.
Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Dungun untuk siasatan lanjut sebelum diserah kepada keluarganya untuk urusan pengkebumian.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Dahlan Mohd. Noor ketika dihubungi hari ini mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan pemandu agar berhati-hati terutamanya ketika hujan dan jalan licin.
Rakan mangsa, Mohd. Hamdan, 42, ketika dihubungi berkata, rakan setugasnya itu berjanji menunggunya di bilik mesyuarat Hotel Universiti Teknologi Mara pagi ini.
"Semalam ketika bermesyuarat di Kemasik, Kemaman, dia ada berjanji menunggu saya dan dia tidak pulang ke Kuala Terengganu selepas mesyuarat itu kerana tidak mahu terburu-buru untuk hadir ke mesyuarat hari ini," katanya.
Al-Fatihah
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0113&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_03.htm
No comments:
Post a Comment