loading...

Saturday, January 14, 2012

Kemalangan Maut Di Chalok


Inalillahi wainailaihi rojiun 

January 15, 2012
CHALOK – “Ketika berada di dalam rumah selepas siap menunaikan solat Subuh, saya dikejutkan dengan bunyi dentuman yang kuat dan apabila keluar rumah, didapati sebuah lori membawa ayam sejuk beku telah terbalik dan melanggar pokok ketapang di hadapan kedai makan,” demikian menurut Zarinah Hussin, 37.

Menurut Zarinah, kejadian itu berlaku kira-kira jam 6.50 pagi dalam keadaan hujan renyai-renyai dan dia terus memberitahu ahli keluarga lain untuk melihat keadaan pemandu di dalam kenderaan itu.

“Saya dapati pemandu dan kelindan itu telah tersepit dalam keadaan cedera parah dan telah meninggal dunia.

“Akibat terlalu gugup saya tidak sanggup melihat kedua-dua mayat dan orang ramai telah menghubungi pihak polis serta bomba,” katanya kepada Sinar Harian.

Zarinah berkata, semasa kejadian berlaku, kedai makan yang diusahakannya sejak lapan tahun lalu tidak dibuka kerana cuti hujung minggu.

“Sekiranya hari ini (semalam) saya membuka kedai seperti biasa, tidak dapat dibayangkan bagaimana keadaan yang akan berlaku kepada pelanggan pada waktu itu.

“Tambahan pula, gerai menjual buah-buahan yang terdapat di hadapan kedai ini juga turut roboh kesan rempuhan kuat lori terbabit,” katanya.

Sementara itu, menurut seorang saksi di tempat kejadian, Hussin Adam, 65, kemalangan itu sangat pantas kerana pada waktu itu jalan raya agak lengang.

“Sebelum kemalangan, saya mendengar bunyi brek yang kuat dan tiba-tiba lori itu terus terbalik di sebelah kanan jalan sehingga melanggar pokok dan merempuh gerai buah serta kedai makan di situ.

“Tergamam dengan kejadian itu, saya terus meluru ke tempat kejadian dan apabila diperiksa, didapati pemandu dan kelindannya tersepit di bahagian hadapan lori,” katanya.

Sinar Harian difahamkan, pihak bomba mengambil masa hampir 15 minit untuk mengeluarkan kedua-dua mangsa yang tersepit di tempat duduk masing-masing.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Setiu, Deputi Superintendan Rohaizat Abd Ani berkata, kemalangan di Kilometer 54.8 Kuala Terengganu ke Kota Bharu berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chalok membabitkan sebuah lori yang membawa muatan ayam sejuk beku.

“Hasil siasatan pihak kita, dipercayai lori itu terbabas ke kanan jalan akibat jalan licin dan hujan.

“Kedua-dua mangsa yang maut dikenali sebagai Mohamed Noor Musa, 33, berasal dari Pontian Besar, Johor Bahru dan Abd Samad Sarpo, 43, yang beralamat dari Kampung Penerok, Kukup, Johor Bharu.

“Punca kematian kedua-dua mangsa adalah akibat kecederaan parah di bahagian kepala, selain tersepit di tempat duduk.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Setiu dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/terengganu/dentuman-kuat-waktu-subuh-1.18210

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my