loading...

Monday, January 9, 2012

Dua remaja maut


Inalillahi wainailaihi rojiun 

BUKIT MERTAJAM – Dua remaja berusia 17 tahun maut dan tiga lagi cedera dalam dua kemalangan berasingan di kilometer 132.3 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) menghala utara dan di kilometer 143.3 Lebuhraya sama menghala selatan, awal pagi kelmarin.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 1.15 pagi, apabila mangsa, Muhamad Nasir Masri, 17, maut di tempat kejadian selepas bergesel dengan sebuah motosikal lain.

Saksi kejadian, Mohd Nasir Mohd Shariff berkata, kemalangan berlaku selepas seorang daripada mereka cuba mengelak motosikal Honda EX5 yang menunggang amat perlahan dan tidak mempunyai lampu belakang.

“Motosikal yang membawa seguni hampas soya itu dipotong lalu kedua mereka bertembung dan terjatuh.

“Sebuah treler yang datang dari arah belakang tidak sempat mengelak lalu merempuh mangsa. Treler itu tidak memberhentikan kenderaan, sebaliknya meneruskan perjalanan ke arah utara,” katanya.

Mohd Nasir berkata, dia segera mendapatkan mangsa yang ketika itu sudah nyawa-nyawa ikan dan mengajar mangsa untuk mengucap dua kalimah syahadah.

Namun, ia sudah terlambat kerana mangsa didapati meninggal dunia sejurus kemudian di tepi pembahagi jalan.

Ambulans tiba kira-kira 15 minit kemudian dan membawa mayat dan mereka yang cedera dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk bedah siasat dan rawatan lanjut.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, seorang remaja juga berusia 17 tahun meninggal dunia selepas motosikal jenis Kawasaki 150RR yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah motosikal jenis Yamaha RXZ.

Kejadian menyebabkan mangsa, Muhamad Samir Sareh yang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Simpang Ampat, Seberang Perai Selatan (SPS) terjatuh di laluan tengah lebuh raya dan meninggal dunia sejurus kemudian.

Dalam pada itu, rakan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Ijan, 22, berkata, mereka sempat menjamu selera bersama-sama rakan yang lain di kawasan Rawat dan Rehat (R&R) Bagan Ajam sebelum kejadian berlaku.

Menurutnya, mangsa mengajak mereka pulang selepas selesai makan, dan mangsa menunjukkan kelainan apabila bersikap lebih ramah, selain suka tersenyum.

“Kami semua sedih dengan pemergiannya kerana dia seorang rakan yang baik,” katanya.

Sementara itu, Ketua Trafik dan Ketenteraman Awam, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (SPT), Asisten Superintendan S Manogaran ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati kedua-dua mangsa maut akibat kecederaan parah di kepala.

Justeru, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian supaya tampil bagi membantu siasatan.

Al-Fatihah

Sumber: sinarharian.com.my/edisi/utara/dua-remaja-maut-nahas-motosikal-1.17227


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my