Inalillahi wainailaihi rojiun
KUANTAN 11 Jan. - Seorang kanak-kanak maut manakala tiga ahli keluarganya cedera setelah kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah bas di Kilometer 98, Jalan Lipis-Merapoh dekat Kuala Lipis petang semalam.
Airien Wafa Afhzahafiez, 2, maut di tempat kejadian manakala bapanya, Afhzahafiez Kamarudin; ibu, Siti Norazira Mahmud, masing-masing berusia 28 tahun serta seorang lagi anak mereka Ariel Wafa, 4, cedera dalam kejadian pukul 4 petang itu.
Pegawai Turus Trafik Pahang, Deputi Supritendan Mohd. Rizal Abdullah berkata, kemalangan berlaku ketika keluarga itu dalam perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan menghala ke Kuala Lumpur.
"Hasil siasatan, kita percaya pemandu bas itu cuba memotong sebuah lori di hadapannya namun ketika berada di laluan bertentangan, ia bertembung dengan kereta Proton Wira dinaiki keluarga tersebut.
"Kanak-kanak yang maut itu duduk di belakang bersama abangnya. Dia dikatakan tercampak menyebabkan kecederaan parah di kepala dan badan.
"Airien Wafa meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Afhzahafiez cedera di perut dan badan. Ibunya, Siti Norazira turut parah di muka dan kepala namun anaknya yang sulung hanya cedera ringan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Tambahnya, pemandu dan beberapa penumpang di dalam bas terbabit tidak mengalami kecederaan.
Mohd. Rizal memberitahu, mayat kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat, manakala tiga ahli keluarganya turut dibawa ke hospital yang sama untuk menerima rawatan.
Al-Fatihah
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Jenayah&pg=je_08.htm
No comments:
Post a Comment