loading...
Wednesday, January 11, 2012
Kereta Terbang Hempap Van
KOTA BHARU 11 Jan. - Seorang jurujual lelaki melalui detik-detik cemas apabila kereta Perodua MyVi yang dipandunya terbabas akibat tayar pancit sebelum 'terbang' dan mendarat di atas sebuah van yang sedang berhenti di Jalan Long Yunus dekat sini, hari ini.
Berdasarkan keadaan MyVi itu yang 'melekat' betul-betul di atas van, pasti ramai yang menyangka berlaku kecederaan atau kematian, namun pemandu kereta itu yang berusia lingkungan 30-an tidak mengalami kecederaan serius.
Lebih melegakan, ketika kejadian, tiada sesiapa berada di dalam van itu yang diletakkan berhampiran deretan kedai di jalan itu.
Mangsa sebelum itu dalam perjalanan ke tempat kerja dan difahamkan, kenderaannya hilang kawalan apabila tayar kiri depan tiba-tiba pancit.
Ketika cuba memberhentikan kereta itu, pemandu MyVi terbabit terlanggar longgokan batu dan pasir menyebabkan kereta itu terbang dan mendarat di atas van.
Seorang saksi, Su Fatimah Ismail, 26, berkata, dia berada di pejabat yang terletak kira-kira 30 meter dari tempat kejadian apabila terdengar bunyi hon sangat kuat.
"Saya segera turun dan tiba-tiba ternampak sebuah kereta berada di atas bumbung sebuah van. Pemandunya tidak mengalami kecederaan serius dan dibantu orang ramai untuk keluar dari kereta," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian tersebut.
"Polis mendapati, kereta itu merempuh longgokan batu dan pasir menyebabkan ia melompat dan terbabas di atas sebuah van. Mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan dibantu orang ramai untuk keluar dari kenderaannya," katanya.
Sumber:
utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0112&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_03.htm
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment