loading...

Sunday, November 13, 2011

Tiga Maut Dua Wanita Hamil Parah


YAN: Usaha seorang bapa, Eiew Gin Geok, 53, mencari anak lelakinya yang tidak tiba ke rumah walaupun sudah memaklumkan dia dalam perjalanan pulang berakhir hiba apabila anaknya ditemui meninggal dunia dan tersepit dalam keretanya yang terbabit kemalangan di Batu 13, Jalan Alor Setar — Sungai Petani, dekat Bukit Besar, di sini, awal pagi semalam.


Eiew Eng Khoon, 28, buruh dari Kampung Sungai Limau Luar, di sini, antara tiga yang terkorban dalam kejadian jam 2.45 pagi itu apabila kereta Proton Satria Neo dipandunya bersama tiga rakannya terbabas ke kanan jalan sebelum merempuh sebatang pokok.


Dua lagi mangsa ialah rakannya, Ooi In Too, 47, dan seorang lelaki yang belum dikenal pasti identitinya dipercayai dirempuh kereta terbabit sebelum terbabas.

Dalam pada itu, dua lagi rakan mangsa iaitu dua wanita warga Myanmar, Lee Pa Mei, 30,( hamil 4 bulan) dan Man Shut Kiy, 31,(mengandung 5 bulan) yang duduk di tempat duduk belakang kereta terbabit, parah dan kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar.


Gin Geok berkata dia menghubungi Eng Khoon jam 2 pagi semalam selepas mangsa keluar bersama rakannya ke Simpang Empat, Alor Setar, malam kelmarin.


“Dia kerap keluar malam dan pulang lewat. Malam tadi (kelmarin) dia tidak pulang-pulang walaupun sudah jauh malam. Saya menghubunginya dan dia mengatakan dalam perjalanan dan hampir tiba ke rumah kami di Kampung Sungai Limau Luar.


“Namun, selepas hampir sejam dia belum tiba, saya mula rasa tak sedap hati. Saya kemudian meminta dua saudara saya menemani saya mencari Eng Khoon,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik, Hospital Yan, di sini, semalam.


Gin Geok berkata, selepas 10 minit memandu dari rumah, mereka terserempak dengan satu kemalangan dan dia merasakan nahas itu membabitkan anaknya.

“Kebimbangan saya menjadi kenyataan apabila melihat Eng Khoon yang tidak bernyawa tersepit di tempat duduk pemandu,” katanya.


Dalam pada itu, anak perempuan Ooi, Ketty Ooi, 24, ketika ditemui berkata, kali terakhir dia menghubungi bapanya minggu lalu untuk bertanya khabar.


Dia yang tinggal di Pulau Pinang berkata, bapanya tinggal bersendirian di Sungai Daun, di sini, selepas berpisah dengan ibunya beberapa tahun lalu manakala adik perempuannya, Ooi Zi Ting, 13, tinggal bersama ibu mereka di Alor Setar.


“Zi Ting pernah memberitahu saya, bapa kami merancang membawa kami dan ibu pergi bercuti pada musim cuti sekolah,” katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Ismail Abu berkata, mangsa dalam perjalanan dari Alor Setar ke rumahnya di Sungai Limau Dalam sebelum terbabas dan merempuh pokok di lokasi kejadian.


“Kita masih menyiasat punca kemalangan dan setakat ini, kita percaya kereta terbabit merempuh seorang lelaki dipercayai Melayu sebelum terbabas,” katanya.


Beliau berkata, tiada dokumen pengenalan diri ditemui pada lelaki terbabit selain mayat mangsa sukar dikenali berikutan cedera teruk di kepala.


Katanya, semua mangsa mati di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan, manakala mayat mangsa dibawa ke Hospital Yan, di sini untuk bedah siasat.



Menurutnya, polis juga menyiasat hubungan mangsa dengan dua wanita Myanmar terbabit yang nama mereka tercatat pada cebisan kertas dalam kereta berkenaan.


Sehubungan itu, orang ramai yang melihat kejadian atau yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Ketenteraman Awam dan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan, Inspektor Ahmad Salimi Md Ali di talian 04-4655222.

 Tiga lelaki maut manakala dua wanita warga Myanmar yang sedang hamil parah apabila sebuah kereta dinaiki empat orang merempuh seorang pejalan kaki sebelum terbabas di Kilometer 20.8, Jalan Alor Setar-Sungai Petani berhampiran Bukit Besar -Utusan Malaysia

Salam Takziah...

Sumber: myMetro
             Sinar Harian
             nst
             Utusan Malaysia
             Kosmo

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my