KOTA BHARU: “Saya cuma ingat mati dan mengucap panjang ketika dirempuh sebelum bergegas keluar dari kenderaan bersama rakan dan dua anaknya kerana bimbang kereta meletup,” kata Azlina Rahim, 37.
Kakitangan syarikat insurans itu nyaris maut apabila kereta dipandunya remuk akibat dirempuh sebuah lori dua tan dalam kejadian berhampiran lampu isyarat cabang empat Tendong, di sini, tengah hari semalam.
Dalam kejadian itu, Azlina bersama rakannya, Halida Ismail, 39, dan dua anaknya berusia enam dan empat tahun dalam perjalanan dari Bunut Susu, Pasir Mas sebelum berhenti di persimpangan lampu isyarat berkenaan.
Menurutnya, dalam tempoh seminit selepas memberhentikan kereta Proton Iswara itu, dia dikejutkan dengan kemunculan lori terbabit dari arah kanan yang merempuh bahagian pintu pemandu.
“Baru sebentar saya berhenti di lampu isyarat di simpang berkenaan, muncul lori itu dan melanggar kereta saya.
“Selepas dilanggar, saya bersama rakan dan dua anaknya bergegas keluar dari kereta,” katanya.
Menurut Azlina, dia bernasib baik kerana terselamat dalam kejadian itu dan hanya cedera ringan termasuk rakannya.
“Sebaik kejadian, orang ramai membantu menghantar saya mendapatkan rawatan di Hospital Lati, Pasir Mas,” katanya.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Darul Naim, Pegawai Kanan Bomba II, Ahmad Radi Ibrahim ketika dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.26tengah hari. Katanya, lima anggota dan satu jentera dikejarkan ke tempat kejadian untuk membantu dan menyelamatkan mangsa.
“Sebaik tiba, mangsa berjaya dikeluarkan orang awam. Difahamkan, pemandu lori itu patah paha kanan dan kelindannya hanya cedera ringan,” katanya.
Sumber: myMetro
No comments:
Post a Comment