loading...
Monday, November 14, 2011
Pemandu Lori Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
MARANG – Seorang pemandu lori yang dalam perjalanan membawa muatan makanan sejuk beku maut selepas kenderaan dipandunya merempuh sebuah motosikal dan bahagian belakang sebuah lori yang berhenti di bahu jalan di Kampung Pasir Puteh, di sini, semalam.
Dalam kejadian di Kilometer 47, Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan di Kampung Pasir Puteh kira-kira jam 12.45 tengah hari itu, mangsa, Mohd Khairul Yunos, 32, beralamat dari Kampung Telaga Papan, Setiu, meninggal dunia di tempat kejadian.
Sementara itu, pemilik motosikal, Nuraman Abdullah, 43, yang dipercayai berada dekat dengan motosikalnya cedera parah manakala pemandu sebuah lagi lori yang ketika itu berada di dalam kenderaannya, Khasimil Shimon, 58, cedera ringan.
Difahamkan ketika kejadian kedua-dua mangsa cedera yang mempunyai pertalian persaudaraan terbabit sedang menjalankan urus niaga menjual jagung kepada peniaga jagung sepanjang tepi jalan di kawasan berkenaan.
Mangsa maut, Mohd Khairul pula dikatakan dalam perjalanan menghantar beka-lan makanan sejuk beku dari Gong Badak, Kuala Terengganu ke Dungun sebelum terbabit dalam kemalangan di jalan yang dipenuhi dengan gerai jagung tersebut.
Menurut isteri Khasimil yang terselamat dalam keja-dian itu, Timah Abdullah, 52, mangsa dipercayai membawa lori dengan laju dan gagal mengawal kenderaan yang dipandu sebelum terbabas dan merempuh sebuah motosikal serta bahagian belakang lori.
“Saya berada di gerai berdekatan sambil menunggu suami (Khasimil) dan adik saya Nuraman (pemilik motosikal) untuk memunggah keluar bekalan jagung dari dalam lori. Tiba-tiba terdengar bunyi dentuman kuat, dan dalam masa sama lori kami meluncur laju ke depan.
“Ketika itu suami berada di dalam lori tetapi terselamat walaupun lori ini turut merempuh sebuah gerai jagung akibat rempuhan kuat dari belakang manakala adik terbaring di atas jalan sebelum dibantu orang ramai yang berada di tempat kejadian,” katanya.
Ibu kepada lima anak itu itu bagaimanapun bersyukur kerana suami dan adiknya terselamat sebelum kedua-duanya dikejarkan ke klinik kesihatan berdekatan untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan kejadian bagaimanapun berkata, kes kemalangan itu masih dalam siasatan pihak polis.
Sementara itu, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Zamri Awang Long berkata, dia bersama enam lagi anggota dengan kekuatan sebuah jentera tiba di tempat kejadian lebih kurang 20 minit selepas menerima panggilan pada 12.56 tengah hari.
Mohd Zamri berkata, setibanya di tempat kejadian pihaknya mendapati lori dinaiki mangsa remuk hampir keseluruhannya di bahagian hadapan akibat rempuhan yang kuat berkenaan.
“Kami mengambil masa 15 minit bagi mengeluarkan mangsa dan terpaksa memotong beberapa bahagian komponen lori itu bagi mengeluarkan mayat tersepit sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment