loading...
Tuesday, November 15, 2011
Lori Rempuh Rumah
BERA – Pantang maut sebelum ajal. Itulah kata yang boleh menggambarkan kejadian menimpa Mohd Azhar Adenan, 47, sekeluarga di Felda Mengkuang, di sini, apabila terselamat selepas rumah didiami mereka dirempuh lori tanpa pemandu.
Mohd Azhar berkata, kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu hanya disedari anaknya, Mohd Zulkarnain, 24, yang masih berjaga dan sedang menonton televisyen manakala, dia dan ahli keluarga lain sedang tidur.
“Saya tidak dengar bunyi dentuman kuat ketika lori merempuh rumah. Tetapi hanya sedar apabila rumah ini tiba-tiba senget,” katanya kepada Sinar Harian.
Berikutan kejadian itu dia berkata, mereka mengalami kerugian hampir RM20,000 dan kediaman mereka tidak lagi selamat untuk diduduki.
Sementara itu, isterinya, Aminah Man, 45, berkata, selepas kejadian itu, mereka sempat mengalihkan barangan elektrik dan perabot ke rumah jiran berdekatan, sementara semua pinggan mangkuk pecah.
“Saya tidak mendengar bunyi hentaman, tetapi semua penduduk di sini berkumpul kerana mendengar bunyi kuat itu.
“Kebetulan saya demam, jadi saya memang tidak sedar malah tidak berdaya untuk bangun walaupun dikejutkan anak beberapa kali,” katanya.
Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana mereka sekeluarga selamat terutama Mohd Zulkarnain kerana kepala lori berkenaan betul-betul merempuh bilik anak bujangnya itu.
Sementara itu, Mohd Zulkarnain berkata, kejadian itu dipercayai berlaku kerana lori yang diletakkan berdekatan kebun getah berkemungkinan kehabisan brek angin.
Menurutnya, lori itu boleh bergerak sendiri kerana kedudukan rumahnya yang menuruni bukit.
“Bila saya dengar bunyi lori bergerak, saya tidak mampu berbuat apa-apa sebab ia terlalu laju.
“Tetapi saya bersyukur kerana lori itu tiada muatan. Kalau tidak, saya percaya ia mampu meruntuhkan rumah kami,” katanya.
Mohd Zulkarnain berkata, dia segera mengejutkan ahli keluarganya apabila menyedari mengenai kejadian itu kerana bimbang rumah mereka runtuh memandangkan ia rumah asal peneroka.
Pengurus Rancangan, Abd Rahman Ismail berkata, mangsa akan diberikan insurans bernilai RM10,000 dan pihaknya juga akan cuba membantu menuntut insurans daripada syarikat lori berkenaan.
Selain itu, Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) juga meluluskan serta-merta permohonan pinjaman perumahan bernilai RM40,000 supaya mereka dapat membina rumah baru.
“Sementara itu, mereka akan tinggal di rumah kakitangan Felda sehingga kerja pembinaan siap.
“Seperti biasa, tempoh pembinaan dalam masa tiga bulan bergantung kepada kecekapan kontraktor dilantik,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment