Inalillahi wainailaihi rojiun
TUMPAT - Perjalanan seorang pengurus Pusat Pengajian Jarak Jauh Universiti Putra Malaysia ke tempat kerja di Wakaf Bharu berakhir tragedi apabila motosikal yang ditungganginya terbabas di Jalan Kota Kubang Labu, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi, mangsa, Nasnudin Mustapha, 47, mati di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.
Isteri mangsa yang enggan dikenali berkata, dia tidak menyangka perubahan sikap suaminya itu beria-ia menggosok bajunya dan anak merupakan petanda dia akan pergi buat selamanya.
“Pagi ini tiba-tiba arwah minta baju saya dan baju sekolah dua anak kami untuk diseterika olehnya, biasanya saya yang minta dia tolong gosokkan baju saya ini kerana arwah suami yang rajin,” katanya ketika ditemui di Hospital Tumpat.
Dia yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah menengah di Bachok memberitahu jenazah suaminya itu dikebumikan di Kampung Pauh Ganja dekat sini.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superitendan Khalid Munap ketika dihubungi berkata, kejadian berlaku ketika mangsa menunggang motosikal bersendirian dalam perjalanan dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian, siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan mangsa tercampak di bahu jalan.
Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan teruk di kepala mati di tempat kejadian.
“Pegawai dan anggota trafik dikejarkan ke tempat kejadian untuk menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Khalid berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tumpat (HT) untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya.
Katanya, saksi kejadian diminta tampil untuk membantu pihak polis menjalankan siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat 09-7257222.
Menurutnya, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Al-Fatihah..
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment