TRAGEDI 11.11.11
Inalillahi wainailaihi rojiun
11.11.11 SLIM RIVER - Empat maut, tujuh cedera parah manakala 22 cedera ringan apabila sebuah bas membawa rombongan Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah terbabas dirempuh sebuah treler di Kilometer (KM) 382 Lebuhraya Utara-Selatan dekat Slim River, awal pagi tadi.
Mereka yang maut dikenali sebagai Maysara Zaidi, 15, Khairul Anwar Azhan,15, Siti Hajar Mohammed, 33, merupakan pelajar dan guru manakala seorang orang awam, Basarah Saad, 45.
Pemangku Ketua Polis Daerah Tanjung Malim, Superitendan Md Tahir Kasim berkata, kejadian kira-kira jam 5 pagi melibatkan sebuah bas persiaran membawa 36 pelajar, tiga guru dari Kulim, Kedah ke Kuala Lumpur.
Menurutnya, kejadian berlaku apabila bas persiaran itu dipercayai terbabas lalu melintang jalan di lorong sebelah kiri lebuh raya.
Katanya, ketika usaha-usaha menyelamatkan pelajar dan guru dilakukan orang awam, sebuah treler membawa muatan pasir dari arah sama merempuh di bahagian sisi bas menyebabkan kenderaan tersebut terbalik.
“Keempat-empat mangsa maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah serta lemas di bawah timbunan guni pasir,” katanya ketika ditemui di Bilik Forensik Hospital Slim River, di sini semalam.
Md Tahir berkata, kemalangan itu mengakibatkan tujuh penumpang bas berkenaan mengalami kecederaan parah dan di rawat di wad Hospital Slim River dan sebahagian di hantar ke Hospital Teluk Intan untuk rawatan lanjut.
Katanya, mangsa cedera parah dikenali sebagai Mohd Azim Dahlan, 15, Mohd Faisal Anuar, 15, Mohammad Sariffuddin, 15, Abdul Rahman Danial Abdul Ghani, 15, Rosilawati Mat Rifim, 40, Azriah Hani, 31 dan anak Azriah, Izdi Haikal Khairul Shah, lima tahun.
“Rosilawati, Izdi Haikal dan Abdul Rahman Danial dihantar untuk menerima rawatan di Hospital Teluk Intan dan selebihnya di wad Hospital Slim River. Manakala 22 mangsa yang cedera ringan dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Slim River," katanya.
Md Tahir berkata, Basarah adalah penumpang sebuah bas lain yang berhenti untuk membantu mengeluarkan pelajar di dalam bas yang terbabas itu sebelum nahas itu berlaku dan punca kejadian masih disiasat dan dipercayai bas itu terbabas disebabkan faktor kecuaian.
Pemandu bas berusia 25 tahun dan pemandu treler kini ditahan polis untuk siasatan manakala kedua-dua kenderaan berkenaan turut dibawa ke Balai Polis Slim River, katanya.
Mangsa sedang keluar dari bas sebelum dirempuh treler: Saksi
SLIM RIVER: Kebanyakan pelajar dan guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Air Merah, Kulim, Kedah sedang tidur ketika bas persiaran yang mereka naiki untuk lawatan ke Kuala Lumpur sebelum ke Genting Highlands terbabas dan terbalik di laluan kiri menuju arah selatan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan awal pagi tadi.
Menurut saksi, mereka cuba keluar dari bas terbabit sebelum treler membawa guni muatan pasir merempuh sebahagian belakang bas yang berada di atas jalan laluan lebuh raya itu.
Seorang pelajar yang berada dalam bas terbabit, Farhana Adila Ramli, berkata ketika kejadian kebanyakan rakannya sedang tidur.
"Kami tidak sedar sebahagian bas telah terbalik selepas terbabas, suasana bising. Kami keluar dari bas untuk selamatkan diri masing-masing. Pada waktu itu tiba-tiba sebuah treler langgar dari belakang bas, kawan-kawan di bahagian belakang saya tidak tahu nasib. Saya sedar apabila berada di hospital," katanya ketika ditemui di bahagian kecemasan Hospital Slim River di sini.
Pelajar Tingkatan Tiga, Mohd Shah Redzuan Samsudin, yang patah di bahagian lengan, berkata sebilangan besar yang berada di dalam bas terbabit hanya cedera ringan apabila bas itu terbabas.
"Apabila treler merempuh bas kami, saya tengok rakan sekolah yang lain tercampak keluar dari bas," katanya.
Guru mata pelajaran Biologi, Azria Hani, 31, berkata rombongannya bertolak dari Kulim pada 11.30 malam tadi untuk lawatan ke Kuala Lumpur dan Genting Highlands.
Antara tempat yang ingin dilawati adalah ASTRO dan Menara Berkembar PETRONAS.
Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Alor Setar, Sharifah Maznah Syed Kassim, berkata mangsa yang maut dalam kejadian itu, Basarah Saad, adalah ahli pergerakan Wanita dan menaiki bas lain yang berhenti untuk membantu pelajar keluar dari bas yang membawa rombongan sekolah berkenaan.
"Ketika bas yang membawa rombongan Pergerakan Wanita UMNO Kedah untuk ke Tanjung Karang lalu di kawasan terbabit, pemandu ternampak dan kemudian berhenti di depan bas terbabit.
"Pemandu kami turun untuk bantu pelajar dan pesan kepada kami jangan turun tapi beberapa ahli pergerakan ingin bantu. Mereka sempat keluarkan tiga pelajar dari bas yang terbabas," katanya.
Apabila sedang membantu, sebuah treler merempuh belakang bas terbabit dan kemudian asap keluar berkepul-kepul.
"Pemandu minta semua ahli Wanita yang turun (untuk bantu) naik semula ke dalam bas kami, kerana pemandu kata keadaan bahaya dan risau jika bas terbabit meletup. Apabila bas kami bergerak, baru tersedar Basarah tiada dalam bas, dan cubaan menghubunginya gagal. Kami kemudian berhenti dan berjalan kaki ke kawasan kejadian sebelum dimaklumkan Basarah maut," katanya.
Katanya, ketika kejadian, kedengaran pelajar terbabit menangis dan meminta tolong dalam keadaan gelap di kawasan berkenaan.
Beliau berkata, Basarah adalah ibu tunggal dan mempunyai tiga anak lelaki.
Abang kepada seorang pelajar yang maut, Zuhairi Azhan, 21, berkata pada mulanya beliau tidak membenarkan adiknya Khairul Anwar menyertai rombongan itu bagaimanapun selepas dirayu beberapa kali akhirnya beliau mengizinkan.
"Saya terkilan tidak dapat menghantar adik kerana bekerja. Sebenarnya ibu saya mengalami trauma kerana sebelum ini adik perempuan saya juga meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya," katanya.
Ibu kepada Farhana Adila, Rozita Idris berkata, pada 6.30 pagi tadi beliau cuba menghubungi anaknya bagaimanapun tidak dapat menembusi talian telefon bimbit anaknya itu.
"Saya kemudiaan cuba hubungi kawan kepada anak saya, dan dimaklumkan bas kemalangan dan mereka berada di Hospital Slim River. Saya sedih dan hiba apabila diberitahu ada rakan anak yang meninggal dunia dalam kejadian itu," katanya.
Kesemua jenazah mangsa yang maut sudah dituntut waris masing-masing petang tadi di Rumah Mayat Hospital Slim River.
Dalam kejadian itu, empat maut dan lima cedera parah apabila sebuah treler membawa guni berisi pasir melanggar bahagian belakang bas yang berhenti akibat terbabas di sebelah kiri laluan menuju ke selatan di Kilometer 382 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Behrang di sini awal pagi tadi. - BERNAMA
Lagi gambar kemalangan layari images BERNAMA
Al- Fatihah....
Sumber: Sinar Harian
Berita Harian
tv3
nst.com
Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment