loading...
Tuesday, November 27, 2012
Dirempuh van ketika lari sekatan polis
27 November 2012
SENAWANG – Gara-gara ingin melarikan diri daripada sekatan polis dengan melawan arus, dua lelaki berusia 20-an nyaris maut apabila motosikal yang ditunggang dirempuh sebuah van lalu tercampak di Jalan Persiaran Senawang 2 berdekatan Taman Desa Anggerik dekat sini, semalam.
Difahamkan dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.45 pagi itu, dua lelaki terbabit yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dipercayai telah melawan arus dengan membuat pusingan U apabila menyedari ada sekatan jalan raya kira- kira 50 meter di hadapan.
Akibat tindakan nekad itu, motosikal yang ditunggang mangsa telah dirempuh sebuah van yang datang dari arah belakang di laluan sama lalu mengakibatkan motosikal mangsa tercampak ke dalam longkang di sisi jalan.
Menurut seorang saksi, J Velan 36, berkata, dia ketika itu sedang dalam perjalanan ke bank dari tempat kerja dengan menunggang motosikal sebelum terlihat kemalangan berlaku.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian, dua mangsa terbabit telah terbaring di atas jalan dengan keadaan berlumuran darah.
“Penunggang motosikal terbabit mengalami kecederaan parah apabila saya melihat kulit mukanya hampir terkoyak, selain parah di dada dan kaki manakala rakannya cedera di tangan.
“Tidak lama kemudian anggota penyelamat dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) tiba di lokasi kejadian sebaik sahaja dihubungi seorang anggota polis yang terdahulu ternampak kejadian itu,” katanya.
Velan berkata, mangsa memberitahu, mereka berasal dari Batu Kikir dan bekerja di sebuah kedai mencuci kenderaan di sebuah pasaraya di Senawang.
Mangsa yang kemudian dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban (HTJS) untuk rawatan susulan itu dipercayai tidak mempunyai lesen menunggang motosikal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin, mengesahkan kejadian tersebut.
Sumber:
sinarharian.com.my/edisi/melaka-ns/bahana-elak-sekatan-polis-1.107467
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment