loading...
Wednesday, November 30, 2011
Penunggang Motorsikal Tercampak Lima Meter
November 30, 2011
SEREMBAN - Seorang lelaki maut setelah tercampak sejauh kira-kira lima meter selepas motosikal ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Mantin Batu 14, Mantin dekat sini, kelmarin.
Jurucakap polis berkata, dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, G Kalidas, 27, meninggal dunia di tempat kejadian akibat mengalami kecederaan parah.
“Pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss itu, seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai Prenathan, 26, turut dilaporkan cedera parah.
“Mayat Kalidas dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar untuk bedah siasat, manakala rakannya yang cedera dibawa ke hospital sama untuk rawatan lanjut,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal dalam perjalanan dari arah Mantin ke Semenyih, Selangor bertembung dengan sebuah lori dari arah bertentangan semasa cuba memotong beberapa kenderaan lain di depannya.
Katanya, mangsa gagal mengawal motosikalnya di selekoh berhampiran tempat kejadian sebelum berlanggar dengan lori yang menghala ke Seremban.
“Keadaan jalan yang licin disebabkan hujan turut dipercayai menjadi antara punca Kalidas tidak dapat mengawal motosikalnya,” katanya.
Beliau berkata, pemandu lori yang berumur 41 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan keterangannya telah diambil untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Mohd Yusoff Awang, mengesahkan kejadian berkenaan.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment