RANTAU PANJANG - Seorang pekerja syarikat swasta meninggal dunia kelmarin setelah lebih sebulan bersabung nyawa melawan kecederaan parah yang dialami akibat kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 3, Jalan Shapadu dari arah Rantau Panjang menghala Bandar Sultan Sulaiman.
Mangsa, Misnan Tembol, 50, dari Jalan Genting yang bekerja di sebuah syarikat meninggal dunia kira-kira jam 9 pagi di Hospital Sungai Buloh ketika masih menerima rawatan.
Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara, Asisten Superintendan Zawary Mahadi berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan ke tempat kerjanya di syarikat terbabit yang beroperasi di Pelabuhan Klang.
“Motosikal yang ditunggang mangsa telah bergesel dengan sebuah lori menyebabkan motosikal tersebut gagal dikawal lalu terbalik ke tengah jalan.
“Berikutan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan dikejarkan ke hospital. Lebih sebulan menerima rawatan bagaimanapun mangsa menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira jam 3.30 petang di hospital yang sama,” katanya.
Menurutnya, mangsa mengalami kecederaan parah di kepala akibat kemalangan berkenaan.
“Sehingga kini polis masih mengesan pemandu lori tersebut yang dipercayai melarikan diri sejurus kejadian berlaku.
“Selain itu, kita turut meminta bantuan orang awam yang menyaksikan kejadian ini tampil memberi maklumat dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Nor Zaharuddin Sanip di talian 03-32902222,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
No comments:
Post a Comment