loading...
Tuesday, November 1, 2011
Dua lelaki nyaris maut di Kota Bharu
KOTA BHARU - Dua lelaki nyaris maut apabila kereta dipandu berasingan dirempuh dalam kemalangan yang melibatkan lima kenderaan di Pasir Hor, di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.20 pagi itu, pemandu kereta jenis Proton Wira serta Perodua Kancil cedera akibat tersepit hampir 30 minit, manakala lima penumpang kenderaan berasingan terselamat dan mangsa dihantar ke hospital berhampiran selepas dikeluarkan oleh anggota bomba dengan bantuan orang ramai.
Difahamkan, sebelum kejadian salah sebuah kereta mengelak daripada lopak air yang kemudiannya terbabas lalu merempuh beberapa kenderaan lain termasuk menyebabkan sebuah kereta Perodua Kancil diletakkan berhampiran rumah turut dilanggar.
Seorang mangsa, Mohd Seli Ibrahim, 42, yang juga peniaga kedai makan memberitahu, sebelum kejadian dia melihat terdapat sebuah kereta di depannya dipandu laju dan tiba-tiba kenderaannya dirempuh.
“Saya tidak dapat melihat kenderaan mana yang melanggar kereta saya kerana kejadian ini sangat pantas dan dalam masa sama kereta saya berpusing beberapa kali sebelum terbalik.
“Selepas itu, saya cuba keluar tetapi tidak berdaya kerana kedua-dua kaki saya tersepit dan ketika itu saya hanya mampu mengerang kesakitan sebelum dikeluarkan oleh anggota bomba,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di Hospital Raja Perempuan Zainab (HRPZ) II, semalam.
Mohd Seli berkata, sebelum kejadian dia bersama seorang warisnya dalam perjalanan dari rumahnya di Panji untuk memulakan perniagaannya di Terminal Agribisnes Negara, Tunjong dan akibat kemalangan itu kedua-dua kaki dan tangan kanannya patah.
Sementara itu, seorang penduduk, Zakirah Ismail, 30, berkata, dia menyedari kejadian tersebut apabila mendengar letupan dan setelah melihatnya dari tingkat atas rumahnya didapati sebuah kereta Perodua Kancil berasap dan beberapa kenderaan lain rosak.
“Saya terus keluar dan terkejut kerana melihat kereta Kancil saya turut kemik, pintu rumah termasuk beberapa kelengkapan kediamannya juga rosak akibat dirempuh oleh salah sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan ini,” katanya.
Zakirah berkata, dia bersyukur kerana ketika kejadian anak-anaknya tidur di tingkat atas rumahnya dan akibat kejadian itu dia mengalami kerugian kira-kira RM8,000.
Dalam pada itu, Ketua Operasi, Zainuddin Senawi berkata, sebuah jentera bomba bersama satu kenderaan utiliti dikejarkan ke tempat kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 4.29 pagi.
“Bomba mengambil masa hampir 10 minit untuk melakukan kerja-kerja memotong kenderaan dan mengeluarkan mangsa secara berhati-hati kerana keadaan keretanya yang sangat remuk.
“Ketika itu, saya cuba menenangkan mangsa kerana dia merintih supaya mengeluarkannya dari remukkan tersebut,” katanya.
Sumber: Sinar Harian
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment