loading...
Tuesday, November 1, 2011
Bakal Pengantin Maut
Inalillahi wainailaihi rojiun
KEMAMAN – Rancangan seorang juruteknik untuk melangsungkan perkahwinan dengan tunang tercinta beberapa bulan lagi tidak kesampaian apabila dia maut selepas motosikal yang ditunggangi hilang kawalan sebelum merempuh pengadang jalan dalam kejadian di Jalan Mak Lagam – Pengkalan Binjai, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 tengah hari itu, Abdul Alim Muda @ Abu Bakar, 23, yang merancang untuk berkahwin pada Mac tahun depan dengan gadis pilihan hatinya, Nur Hafizah Hamid, 20, meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan selepas dikejarkan ke Hospital Kemaman.
Lebih menyentuh hati, mangsa yang terbabas seorang diri dan terbaring di atas jalan dalam keadaan cedera pada badan, ditemui sendiri oleh bakal bapa mentuanya yang kebetulan melalui jalan itu, sebelum dia dibawa ke hospital.
Bapa mangsa, Muda @ Abu Bakar Salleh, 63, berkata, musibah yang menimpa anaknya itu yang merupakan anak kelapan daripada sembilan beradik, diketahuinya selepas mendapat panggilan telefon daripada abang Abdul Alim yang berada di hospital petang kelmarin.
Katanya, kehilangan anaknya itu tidak disangka apatah lagi anaknya yang bekerja Pelabuhan Kuantan, Gebeng, Pahang dalam keadaan sihat sebelum itu, dan hanya menunggu waktu untuk melangsungkan perkahwinan selepas mengikat tali pertunangan pada Ogos lalu.
“Namun, sejak belakangan ini anak saya (Abdul Alim) menjadi sedikit pendiam, malah beberapa hari sebelum ini saya ada berpesan kepadanya agar jangan keluar malam dan dia hanya mengangguk.
“Arwah seorang anak yang baik, kami sekeluarga sayangkannya namun kami reda kerana ALLAH lebih sayangkannya,” katanya yang juga seorang nelayan ketika ditemui di rumahnya di Jalan Kurau, Kampung Geliga, dekat sini, petang kelmarin sebelum jenazah dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan.
Turut menziarahi keluarga mangsa, Yang Dipertua Pas Bahagian Kemaman, Ismail Harun dan Pengarah Pas Majlis Tindakan Dun Chukai, Hanafiah Mat.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat yang mengesahkan kejadian itu berkata, motosikal Yahama 125Z yang ditunggangi Abdul Alim dipercayai hilang kawalan sewaktu melalui selekoh sebelum terlanggar pengadang jalan dan seterusnya mangsa dijumpai oleh bakal bapa mentua dan orang awam yang melalui laluan itu.
“Mangsa dalam perjalanan dari Mak Lagam sebelum terbabas di selekoh untuk naik ke jalan jambatan kereta api berdekatan jambatan baru Pengkalan Binjai,” katanya.
Jenazah dituntut keluarga mangsa kira-kira jam 11.30 pagi sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Geliga.
Al-Fatihah
Sumber: SH
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment