loading...

Thursday, November 3, 2011

Bertembung Lori Ketika Memotong



Inalillahi wainailaihi rojiun


ALOR GAJAH – Gara-gara memotong beberapa kenderaan untuk berlumba, seorang lelaki maut apabila kereta jenis Wira Aeroback yang dipandu bertembung sebuah lori tiga tan muatan sawit di Jalan Kampung Pematang Darat, berhampiran simpang tiga masuk ke Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari itu, mangsa, Mohd Zaini Mohd Zaid, 37, yang berasal dari Telok Kemang Port Dickson memandu dari arah Kuala Linggi menghala ke Kuala Sungai Baru hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan lain dan bertembung dengan lori terbabit yang dipandu seorang lelaki Cina.

Pemandu lori, Gan Siang Cheng, 41, dari arah Paya Lebar menuju ke kilang sawit Sri Lingga, Kuala Linggi, berkata, dia mencuba mengelak ke kiri jalan, namun kereta terbabit dipandu laju merempuh bahagian hadapan lorinya.

“Sebaik melalui selekoh, kereta yang sudah hilang kawalan itu tiba-tiba muncul sebelum terbabas dan berpusing di laluan saya,” katanya.

Menurut Gan yang memandu berseorangan, dia tidak sempat membunyikan hon atau memberi isyarat lampu tinggi kerana kereta terbabit sudah hilang kawalan dan dia hanya mampu mengelak sebelum terbabas ke bahu jalan.

Seorang saksi yang enggan dikenali mendakwa, terdapat kereta di hadapan lori sawit terbabit yang mahu memasuki simpang kanan sebelum kemalangan itu berlaku.

“Kejadian berlaku dalam sekelip mata apabila saya lihat lori yang dipandu bergegar kuat terus di bahu kiri jalan sebelum saya menyedari kereta mangsa sudah terbabas di jalan asalnya,” katanya.

Seorang lagi saksi, Azmi Harun, 47, yang memandu tidak jauh dari kereta mangsa mendakwa, kereta tersebut ada memotong keretanya dan dilihat seperti sedang berlumba dengan kereta lain.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Masjid Tanah, R Bajiyen, ketika ditemui di lokasi kejadian berkata, mangsa yang tidak tersepit di tempat duduk pemandu dikeluarkan dengan mudah tanpa memerlukan pemotongan pada bahagian kereta.

Operasi tersebut diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Zainuddin Joned bersama sembilan anggota lain dengan kekuatan satu jentera dan sebuah pacuan empat roda berjaya mengeluarkan mangsa yang sudah meninggal dunia kurang dari tiga minit.

“Disebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala, orang awam tidak berani menyentuh atau mengeluarkan mangsa sehingga anggota bomba tiba dan seterusnya dihantar ke Hospital Melaka menggunakan kenderaan polis,” katanya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Umar Ali Saifuddin Shaharudin, mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari itu.

Menurutnya, mayat mang­sa dihantar ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat sementara pemandu lori yang mengalami cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru,” katanya.

Al-Fatihah

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my