loading...

Thursday, November 3, 2011

Kemalangan Maut 3 Sekeluarga

 KEADAAN kereta Proton Saga Aeroback yang terbabit dalam kemalangan menyebabkan tiga sekeluarga maut berhampiran Kampung Kubang Rusa, Kuala Lipis-HARIS FADILAH AHMAD/kosmo

Inalillahi wainailaihi rojiun 

LIPIS - Sepasang suami isteri dan seorang warga emas maut dalam satu kemalangan di Kilometer 81 Jalan Lipis-Merapoh berdekatan Kampung Kubang Rusa, kira-kira jam 2 petang kelmarin.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, pasangan suami isteri ­ter­babit, Nik Abdullah Nik Isa, 52, dan Nor Aizan Muhamad, 49, ­meninggal dunia di tempat kejadian manakala ibu kepada Nik Abdullah, Siti Long, 78, meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang.

Sinar Harian

Menurutnya, seorang lagi ­penumpang yang juga adik kepada Nik Abdullah, Nik Norizan Nik Isa, 38, cedera parah dan menerima ­rawatan di Hospital Gua Musang.

“Kejadian dipercayai berlaku apabila kereta jenis Proton Saga Aerobik dipandu Nik Abdullah dari arah Lipis ke Merapoh hilang kawalan dan ­masuk ke laluan bertentangan.

“Dalam masa sama, sebuah ­kenderaan pacuan empat roda di­naiki dua lelaki dari arah Merapoh ke Lipis menyebabkan kedua-dua ­kenderaan itu bertembung,” katanya, di sini, semalam.

Abdul Razak berkata, jenazah Nik Abdullah dan Nor Aizan dibawa ke Hospital Lipis untuk dibedah ­sebelum dituntut ahli keluarga.

Menurutnya, kes disiasat di ­bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan saksi kejadian diminta berhubung dengan Sub Inspektor Abdul Rahman Yunan di talian 09-312 2222 untuk membantu siasatan.

Sementara itu, anak sulung ­arwah Nik Abdullah, Nik Mohd Shahfuleezan, 27, berkata, sebelum kejadian ayahnya ada meng­hubunginya dan memaklumkan ­bahawa mereka ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas) untuk pemeriksaan lanjut mata arwah neneknya.

“Mereka pergi hari semalam (­kelmarin) dan sempat tidur di Temerloh. Ayah juga memberitahu bahawa dia kurang sihat tetapi tetap gagahkan diri untuk pergi ke Temerloh,” katanya kepada Sinar Harian di Rumah Mayat Hospital Lipis semalam.

Nik Mohd Shahfuleezan ­berkata, dia yang bekerja di Kuala Lumpur terkejut apabila dimaklumkan ­mengenai berita yang menimpa ahli keluarganya dan bertindak pulang segera ke Lipis.

“Kejadian ini berlaku sekitar lima kilometer sebelum sampai ke rumah. Lebih memilukan, peristiwa ini berlaku beberapa hari lagi sebelum umat Islam menyambut Hari Raya Aidiladha.

“Ibu dan ayah tidak menunjukkan apa-apa perubahan ketara ­sebelum ini. Walaupun sedih namun saya pasrah dan menganggap ia ­sebagai ujian dari ALLAH SWT,” katanya.

Nik Mohd Shahfuleezan ber­kata, jenazah ibu, ayah dan neneknya dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Merapoh pada malam itu juga.

Sementara itu, seorang saksi, Hamdan Mat Husin, 43, berkata, setelah mendapat tahu berita itu, dia bergegas ke tempat kejadian dan terkaku apabila melihat orang kampungnya sendiri terlibat dalam kemalangan.

Hamdan berkata, dia tergamam apabila melihat keadaan Saga Aerobik remuk teruk manakala keadaan Nik Abdullah lemah longlai di bahagian pemandu.

“Ketika sampai di tempat ­kejadian, saya lihat arwah Nik Abdullah masih bernyawa manakala isterinya sudah tidak bergerak lagi.

“Saya tidak mampu berbuat­ ­apa-apa termasuk mengajar arwah mengucap kerana terkejut melihat ­keadaan yang menyayat hati itu,” katanya.

Hadir sama menziarahi jenazah di Rumah Mayat Hospital Lipis ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Padang Tengku, Datuk Abdul Rahman Mohamad.

Al-Fatihah

Sumber: Kosmo
              Sinar Harian

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my