loading...

Monday, June 13, 2011

Langkah Elak Kemalangan Berhenti Memandu Jika Berasa Mengantuk

IPOH: Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Perak menasihatkan pemandu supaya berhenti memandu jika berasa mengantuk walaupun mereka sudah hampir tiba ke destinasi.


Pengamatan terbaru MKJR mendapati banyak kemalangan maut berlaku terutama sepanjang cuti persekolahan ini ketika kenderaan melalui perjalanan panjang sudah menghampiri destinasi dituju.
Pengerusinya, Datuk Ramly Zahari, berkata pemandu biasanya terlupa aspek keselamatan ekoran kegembiraan mereka sudah hampir selamat ke destinasi.

“Sebagai contoh, apabila kenderaan dari Kuala Lumpur tiba di Simpang Pulai, 15 kilometer dari destinasinya di Ipoh, pemandu rasa mereka sudah ‘sampai’ dan rasa mengantuk atau mahu buang air kecil tidak dihiraukan kerana rasa boleh buat bila tiba di rumah nanti.

“Risiko tinggi kerana kemalangan boleh berlaku dalam tempoh sesaat saja. Ini hasil pengamatan pasukan polis yang dilakukan sepanjang cuti persekolahan ini,” katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Untuk Kanak-Kanak 2011 dan Program Selamat Menunggang Basikal Sekeliling Dunia di Taman Dr Seenivasagam di sini, semalam.

Beliau mengulas kemalangan maut membabitkan empat sekeluarga Khamis lalu apabila kenderaan yang dalam perjalanan pulang ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar, dari Pasir Mas, Kelantan, merempuh penghadang jalan di Jalan Kuala Kangsar - Grik, dekat Sauk.

Ramly yang juga EXCO Kerajaan Negeri, berkata beliau akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) menyediakan laluan khas motosikal dan basikal apabila membina laluan baru jalan negeri dan bandaran di negeri ini.
Beliau berkata, laluan khas itu penting kerana perangkaan terbaru dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini menunjukkan 20 pejalan kaki dan 10 penunggang atau pembonceng motosikal maut akibat kemalangan jalan raya.

Ketika ini, katanya, ada PBT membuat laluan khas itu di Kuala Kangsar dan Teluk Intan yang didapati berjaya mengurangkan risiko kepada penunggang motosikal dan basikal serta pejalan kaki daripada dirempuh kenderaan lain.

“Walaupun kita tidak dapat menjamin kenderaan lain tidak masuk ke laluan khas itu seperti berlaku di Kuala Lumpur, tetapi kemudahan itu mampu mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

1 comment:

  1. so..rehatlah secukupnye sebelom memulakan kmbali prjalanan..:P

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my