loading...

Friday, June 17, 2011

Dua Beranak Maut Elak Bangkai Haiwan


JENGKA - Gara-gara cuba mengelak bangkai haiwan, dua beranak maut apabila kenderaan yang dipandu bertembung dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan dalam kejadian jam 6.30 petang di Jalan Besar Jengka 23-22, kelmarin.

Mangsa yang juga anak peneroka Felda Jengka 13, Md Jelani Hassan, 46, dan ibunya, Puteh Ngatinin, 71, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan.

Isteri mangsa, Kamariaton Hamid, 41, berkata, mereka lima beranak dengan kereta dipandu suaminya dalam perjalanan pulang dari Pasar Malam Pekan Awah.

Menurutnya, ketika di lokasi kejadian, arwah suami cuba mengelak bangkai haiwan sebaik melepasi satu selekoh tajam lalu.

“Saya berada di tempat duduk bahagian hadapan dan tanpa disedari, terdapat sebuah kenderaan dari arah bertentangan.

“Saya tergamam apabila melihat kereta berkenaan meluru laju sebelum bertembung dengan kereta kami. Dentuman kuat berlaku menyebabkan kereta dari arah depan itu berpusing lalu terjunam ke gaung,” katanya kepada Sinar Harian.

Ibu kepada lapan anak itu berkata, beliau segera mengeluarkan seorang anaknya, Mohd Saiful Adam, 4, di bahagian belakang manakala seorang lagi anaknya, Zulaikha, 12, tersepit bersama arwah ibu mertuanya.

Menurutnya, arwah suami tersepit dan masih bernafas, namun dalam keadaan amat lemah sementara arwah ibu mertuanya, tidak menunjukkan sebarang pergerakan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Ahmad Johari Shahabudin berkata, kemalangan maut itu membabitkan dua kenderaan yang bertembung dari arah bertentangan kira-kira jam 6.30 petang di laluan Felda Jengka 23 ke 22.

Menurutnya, kereta jenis Proton Wira yang dinaiki lima beranak itu dari arah Temerloh manakala sebuah lagi, Proton Saga BLM dinaiki empat beranak dalam perjalanan pulang ke Felda Jengka 17.

“Kedua-dua kereta ini bertembung sebaik melepasi satu selekoh tajam dari arah Temerloh dan menyebabkan berlakunya kerosakan teruk.

“Pemandu Proton Wira dan ibunya yang berada di bahagian belakang meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala sementara isteri serta seorang anaknya hanya mengalami cedera ringan.

“Namun seorang lagi anaknya, cedera parah dan menerima rawatan lanjut di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS), Temerloh,” katanya.

Ahmad Johari berkata, pemandu Proton Saga BLM dan seorang penumpang cedera parah serta menerima rawatan di hospital sama sementara dua lagi, hanya cedera ringan.

Kedua-dua mangsa maut selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Jengka 13, petang semalam.

1 comment:

  1. kadang2 kalau dengar berita macam ni, rasa takut pulak nak bawa kereta

    ReplyDelete

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

My Headlines

FeedBurner FeedCount

Blogged.my