loading...
Friday, June 17, 2011
Brek Tidak Berfungsi
GELIGA – Seorang pemandu lori pasir terpaksa bertarung nyawa apabila kenderaan yang dipandunya terbabas ke kiri jalan, lalu merempuh tiang lampu isyarat di Jalan Kuala Terengganu-Kuantan, berhadapan Stesen Minyak Esso, Rabu lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, mangsa, pemuda Melayu berumur 20-an yang dalam perjalanan dari Kuantan ke Kuala Terengganu dipercayai cuba mengelak daripada melanggar dua motosikal yang berhenti ketika lampu isyarat merah, sebelum terbabas mengakibatkan lori berkenaan terbalik gara-gara brek tidak berfungsi.
Sinar Harian difahamkan, mangsa yang tersepit di tempat duduk ditarik keluar oleh orang ramai sebelum dikejarkan ke Hospital Kemaman oleh ambulans sejurus selepas kejadian.
Bagaimanapun, mangsa dikatakan tidak mengalami kecederaan serius dan hanya luka pada kepala.
Saksi kejadian, Nurul Fatihah Jamaluddin, 22, yang berniaga jambu tidak jauh dari lokasi kejadian berkata, dia melihat lori berkenaan meluncur laju sejauh 500 meter dari kawasan lampu isyarat dan disusuli dengan hon bertalu-talu.
“Pemandu memberi hon bertalu-talu seperti memberi isyarat yang kenderaannya rosak dan gagal dikawal. Ketika itu terdapat dua motosikal berhenti di tengah jalan kerana lampu isyarat merah.
“Justeru, disebabkan mahu mengelak daripada melanggar motosikal, lori berkenaan terbabas ke kiri jalan dan meluncur laju merempuh dua tiang lampu isyarat lalu terbalik,” katanya yang masih kelihatan terkejut dengan nahas yang berlaku depan matanya itu.
Sambil mengakui kejadian itu turut membuatkan jantungnya hampir ‘tercabut’ kerana terlalu terkejut, katanya, hanya dalam tempoh beberapa minit pasukan bomba dan pe-nyelamat tiba di tempat kejadian.
“Alhamdulillah, pemandu lori tidak mengalami kecederaan parah. Ini pengalaman pertama saya saksikan kemalangan depan mata,” katanya.
Sementara itu, penduduk berdekatan yang mahu dikenali sebagai Hassan berkata, laluan itu kerap berlaku kes kemalangan terutama kes nahas yang meragut nyawa.
Oleh itu, katanya, pengguna jalan raya perlu berhati-hati dan tidak memandu laju bagi mengelakkan kemalangan.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment