loading...
Saturday, May 14, 2011
Terserempak nahas sepupu
ALOR GAJAH - Seorang wanita dalam perjalanan pulang ke rumah dari tempat kerjanya tidak menyangka kemalangan maut yang ditemui di Jalan Kampung Paku, Kelemak menuju ke Lendu, semalam membabitkan sepupunya.
Dalam kejadian kira-kira 5.05 petang itu, Nurul Asyikin Saharudin, 23, dalam perjalanan pulang dari Kolej Yayasan Alor Gajah menuju ke Bukit Beringin, Masjid dengan menaiki kereta.
Pada mulanya, dia hanya menyedari terdapat sebuah ambulans berselisih dengan kenderaannya.
“Semasa dalam kereta, saya berselisih dengan sebuah ambulans, diikuti sebuah kereta Perodua Kelisa milik abang mangsa. Masa itu, saya merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
“Tidak lama selepas itu, baru saya terserempak dengan kemalangan. Saya dapati sebuah kereta jenis Proton Gen2 dengan serpihan kaca cermin kereta berkenaan bertaburan atas jalan raya akibat melanggar sebuah motosikal jenis Honda EX-5.
“Bagaimanapun, penunggang motosikal itu sudah dibawa ke hospital,” katanya.
Nur Asyikin berkata, dia tidak berhenti di kawasan kemalangan itu, sebaliknya terus pulang ke rumah.
Bagaimanapun, dia sekeluarga terkejut menerima panggilan telefon kira-kira 7.30 malam yang memaklumkan penunggang motosikal itu adalah sepupunya sendiri, Mohamad Haziq Mohd Yusof.
“Seorang ahli keluarga mangsa menghubungi keluarga saya memaklumkan Mohamad Haziq berada dalam keadaan kritikal di Hospital Alor Gajah, namun meninggal dunia ketika dirawat,” katanya.
Mohamad Haziq, 17, dikatakan dalam perjalanan dari arah Alor Gajah menuju ke Masjid Tanah sebelum bertembung dengan Proton Gen 2 yang datang dari arah bertentangan dipercayai akibat hilang kawalan.
Ketika kemalangan, mangsa yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dol Said, di sini masih berpakaian kokurikulum sekolah.
Sementara itu, bapa mangsa, Mohd Yusof Ninggal, 51, yang juga jurulatih Olahraga Sukan-sukan Malaysia menyifatkan anak ketiga dari empat badik itu sebagai seorang pendiam.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum ini. Kami tak sangka dia akan meninggalkan kami dalam keadaan penuh tragedi, namun saya redha meskipun seperti tidak percaya,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment